Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat sebagaimana disarankan Perdana Menteri adalah mesej yang sangat jelas hendak disampaikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sehubungan itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali mahu semua pihak akur demi kelangsungan negara yang berada dalam keadaan agak rumit ketika ini.

Kata beliau, titah baginda itu amat jelas yang menuntut semua pihak menghayati ketaatan kepada Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan prinsip Rukun Negara.

“Putra menjunjung kasih dan merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang telah membuat ketetapan tidak perlu diisytihar darurat mengikut permohonan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kabinetnya.

“Kita berkeyakinan penuh bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah meneliti secara terperinci serta mengambil maklum permintaan Perdana Menteri dan status terkini dalam negara terutama ancaman pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, Al-Sultan Abdullah telah bertitah tiada keperluan darurat dan meminta semua pihak terutama pimpinan politik dan Ahli Parlimen berganding bahu menangani Covid-19.

Di samping itu, beliau juga berharap, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan awal November ini dipermudahkan laluan di Dewan Rakyat kerana keperluan perbelanjaan untuk menghadapi Covid-19.

“Untuk mencari jalan mudah apabila timbul kekusutan sebenarnya mudah. Begitu juga mencari jalan susah walaupun mudah. Jika seseorang pemimpin benar-benar beriman dan menghayati prinsip demokrasi, pasti ianya mudah.

“Tengok pemimpin Jepun dan negara barat, mudah sahaja mereka berundur jika ada yang  menghadapi musibah seperti kucing mati di langgar kereta, maka Menteri Pengangkutan letak jawatan tanpa didesak.

“Begitu mulianya pemimpin bukan beragama Islam mengambil tanggungjawab terhadap tugasnya. Ada pemimpin di Malaysia, terus dengan sikap sentiasa menyalahkan orang lain. Terus dengan sikap seribu satu dalih,” katanya.

Mengenai keadaan terkini, Dr. Ibrahim menjelaskan, sekarang bola di kaki Muhyiddin dan beliau juga pasti tahu kekuatan sokongan kepadanya.

Namun, demi negara dan seorang Islam istiqamah, berilmu dan memahami prinsip demokrasi berparlimen, buatlah keputusan sebagai seorang bersifat negarawan mulia, iaitu yang terbaik untuk mengelak ketegangan demi kestabilan politik negara.

Kata beliau, sudah tercatat dalam sejarah Muhyiddin adalah Perdana Menteri kelapan, walaupun tidak lama.

“Apapun diperkatakan, yang menghina dan seumpamanya, nak jadi Perdana Menteri jauh sekali seperti bumi dan langgit.

“Kepada Muhyiddin, buatlah keputusan bijak bestari sebagai seorang pahlawan yang diingati dalam lipatan sejarah Malaysia. Jangan termakan hasutan mereka sekadar mahu berpaut untuk diri masing masing.

“Buatlah keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette