Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk bekerjasama demi memastikan negara dapat memerangi wabak Covid-19 yang menyusahkan rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu kekal dengan pendirian bahawa keruntuhan ekonomi domestik hanya dapat diatasi jika semua pemimpin menolak fahaman politik, agama dan bangsa masing-masing untuk berpadu mencari jalan penyelesaian demi negara.

“Patik merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah atas titah baginda yang tidak memperkenan pelaksanaan darurat di negara ini.

“Sesungguhnya, patik menjunjung tinggi kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka bersama Raja-Raja Melayu dalam memerintah negeri dan negara ini demi kemakmuran sekalian rakyatnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, dalam berdepan pandemik Covid-19, komuniti perniagaan antara yang turut terjejas teruk, malah terpaksa menanggung kerugian tinggi.

Justeru, tegas beliau, Warisan turut menyeru komuniti perniagaan itu tampil bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan langkah mutlak dapat diambil demi kebaikan bersama.

Kata Shafie, komuniti perniagaan sudah tentu mempunyai idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada kerajaan mengenai bagaimana masalah yang timbul itu dapat diatasi.

“Rakyat telah melakukan pengorbanan di saat sukar ini, maka tiba masanya semua Menteri dan wakil rakyat turut berkorban dengan memberi sumbangan kepada usaha menghadapi tempoh yang sangat mencabar ini.

“Warisan tetap menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia dalam mematuhi arahan kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda,” katanya.

Beliau meminta sokongan semua pihak agar terus memberi kerjasama kepada setiap arahan atau SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa agar dapat menempuh dan mengatasi cabaran itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. WARISAN PAKAR SANDIWARA COVID….TANPA BUBAR DUN SABAH COVID TIDAK MEREBAK MENDADAK…SHAFIE BUAT BAGUS DAN BUAT MENYESAL…LAMA X DENGAR SUARA MUHAMADIN KETAPI

Comments are closed.