Dr Ahmad Masrizal Muhammad

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) minta semua pihak beri ruang seluas yang mungkin kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memainkan peranan sebaik mungkin dalam usahanya membantu kerajaan semasa.

Setiausaha Eksekutif BN, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, sudah jelas lagi bersuluh, UMNO pimpinan Ahmad Zahid melihat kepada kepentingan masa depan rakyat dan negara, berbanding berpolemik dengan isu politik yang merugikan.

“Kenyataan Presiden UMNO malam tadi diharap menutup semua cakap-cakap mengenai hala tuju parti dalam mendepani isu politik semasa, terutama isu sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tegas menyatakan, tidak (kerjasama) dengan PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak sama sekali dengan DAP. Noktah,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang memaklumkan, Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong kerajaan PN.

Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti malam tadi memutuskan untuk kekal dengan keputusan menolak kerjasama PKR dan DAP.

Menurut Dr. Ahmad Masrizal, dalam hal itu, semua pihak harus menghormati pendirian UMNO dan memberikan ruang kepada Ahmad Zahid membantu kerajaan melancarkan pentadbiran kerajaan PN.

Beliau menjelaska, kocakan politik yang berlaku seketika baru-baru ini, harus dikesampingkan dan semua semua pihak perlu menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat di dahulukan, politik dikemudiankan. – MalaysiaGazette