KUALA LUMPUR – UMNO lebih rela menjadi pembangkang daripada bekerjasama dengan DAP, tegas Exco Pemudanya, Muhamad Nur Aizat Noor Azam.
Beliau berkata, UMNO lebih bermaruah dan mampu untuk berusaha merelevankan diri pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini (PRU 15) serta terus bersifat sederhana dalam berdepan dengan drama perebutan kuasa.
Katanya, UMNO akan memberi fokus terbaik untuk bercakap soal hati rakyat dan menjadi suara keramat serta saluran utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara.
“Tiada guna juga kita korbankan asas perjuangan dan penentangan terhadap DAP cauvanis demi kuasa semata-mata. Biar jadi pembangkang jauh lebih baik daripada bekerjasama dengan mereka.
“Ini juga masa untuk UMNO terus bersihkan nama dengan kebenaran, kesabaran dan kelantangan yang parti terus jalankan.
“Terima kasih kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO atas kata putus serta sepakat yang telah dicapai malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MT UMNO yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk kekal dengan keputusan menolak kerjasama PKR dan DAP.
Dalam satu kenyataan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, Ahli-ahli Parlimen UMNO terus mendokong kerajaan PN, malah akan ditambah baik prinsip kerjasama itu berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus.
Menurut Muhamad Nur Aizat, dalam keadaan sekarang ini, dengan pandemik Covid-19 yang semakin serius, semua parti politik dalam PN harus ikhlas sesama sendiri menjalankan agenda rekonsiliasi nasional, sebelum meyakinkan parti pembangkang.
“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan parti Bersatu harus juga melakukan gencatan politik mereka terhadap UMNO. Carilah titik damai, setiakawan disemai agar situasi politik negara sihat permai.
“Paling penting, UMNO memutuskan untuk tidak sesekali bercadang menjalankan kerjasama dengan PKR dan DAP,” katanya.
Katanya, UMNO tidak mahu terus dilihat sebagai mangsa buli, tetapi tetap memegang prinsip untuk terus mengangkat agenda memperkasakan Melayu, Bumiputera dan Islam yang menjadi teras utama parti.
Beliau turut menyatakan, UMNO menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menolak cadangan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Jumaat lalu.
Pemuda UMNO, katanya, percaya Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja telah mempertimbangkan perkara tersebut dengan amat terperinci sebelum baginda membuat keputusan. – MalaysiaGazette

















Korang tu pembangkang cermin diri sikit