TAWAU – Penduduk Taman Semarak di Tawau yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berang lantaran tidak dibenarkan  menerima kiriman bekalan makanan daripada orang luar.

Difahamkan penduduk di sana sudah mulai kehabisan bekalan makanan harian selepas PKPD dikuatkuasakan sejak 26 Oktober yang lalu.

Menurut maklumat yang diterima MalaysiaGazette, penduduk di kawasan berkenaan juga tidak berpuas hati kerana kekeliruan pelaksanaan kiriman bekalan makanan yang dilihat berubah-ubah sehingga menyusahkan mereka.

Jika pada mulanya mereka difahamkan bahawa Rukun Tetangga (RT) akan digerakkan membantu penduduk yang terjejas kehabisan makanan dan menjadi perantara pengirim daripada kawasan luar, namun kemudian ketetapan itu berubah.

Menurut sumber MalaysiaGazette lagi, sehingga hari ini belum ada bantuan makanan yang diterima oleh penduduk berkenaan.

Akibat kekeliruan ini, penduduk lokaliti berkenaan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan berkumpul di hadapan kawat berduri.

Untuk rekod, pada 24 Oktober yang lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Taman Semarak di Tawau membabitkan lebih kurang 3,294 rumah dan 16,470 penduduk sebagai langkah  membendung peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan seramai 45 orang penduduk di sana yang disahkan positif wabak berkenaan.

Dalam pada itu Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi memberi jaminan akan menyelesaikan kekeliruan ini dengan segera.

“Aduan ini akan dibincang secara segera di mesyuarat PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah),” katanya.MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kerajaan harus berfikir, permasalahan rakyat di sana. Terutama keperluan rakyat bekalan makanan ada habisnya tetapi tidak dapat keluar membeli untuk kebaikan orang lain, bagi pendapat saya boleh keluar membeli tapi mengikuti sop. pihak kerajaan boleh menghantar ke sana sehingga di pondok polis shj. Binatang pun perlukan makanan apatah lagi manusia. Yang memiliki hati dan perasaan

Comments are closed.