Muhammad A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Muhammad A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme pilihan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sama ada memadai dengan bantuan kerajaan ataupun diberi kelonggaran mengeluarkan wang dari akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi Gerakan Tuntutan Rakyat Malaysia (TUNTUT), A’zlan Abu Bakar berkata, ia bagi memulihkan ekonomi rakyat akibat kehilangan mahupun kekurangan sumber pendapatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dua mekanisme pilihan yang sesuai dilaksanakan iaitu pengeluaran 5 peratus simpanan bagi pencarum yang kehilangan dan kekurangan pendapatan antara 30 hingga 50 peratus.

“Bagi pencarum kategori bujang pula, kerajaan perlu membenarkan pengeluaran sehingga 10 peratus, manakala sudah berkahwin pula 20 peratus khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar rakyat dibenarkan mengeluarkan wang sehingga RM10,000 secara one-off dari akaun satu KWSP bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat  cadangan itu sukar dilaksanakan pada waktu ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan masa depan pencarum.

Dalam pada itu, cadangan itu juga ada kewajarannya bagi membolehkan rakyat meneruskan kelangsungan hidup, apatah lagi yang sudah berkeluarga.

“Matlamat caruman KWSP bertujuan untuk masa tua pencarumnya. Namun kami melihat bahawa harapan ini harus direalisasikan.

“Pengeluaran caruman itu tidak dilihat boleh menjejaskan jaminan kewangan mereka di masa hadapan atau persaraan.

“Kami berharap kerajaan dapat memperhalusi perkara ini dengan mengutamakan kebajikan rakyat, sekaligus kebergantungan rakyat terbela di saat genting ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette