KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang melaksanakan tindakan terhadap pencemaran bau sekitar 3 ton yang dikesan di sebuah kilang pemprosesan plastik terbakar di hulu Sungai Kuang semalam.

Exco Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, insiden dikesan LUAS ketika menjalankan Ops Sumber Air kira-kira jam 10 malam semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor memaklumkan insiden kebakaran premis tersebut berlaku sekitar jam 6 petang.

“Siasatan pihak LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mendapati, sisa-sisa kebakaran tersebut telah membeku pada permukaan air.

“Namun sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir masuk ke alur air di hulu Sungai Kuang hingga menyebabkan kesan bau sekitar 3 ton melalui pensampelan bau yang telah dilaksanakan.

“Jarak insiden ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terdekat iaitu Rantau Panjang anggaran dalam 33 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, LUAS dan Air Selangor melaksanakan langkah awal nyah bau dengan meletakkan 43 beg activated carbon untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang.

“Ia sekali gus mengelakkan bau dari sisa-sisa kebakaran tersebut mengalir sehingga ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai
Selangor.

“Dilaporkan pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut sekitar jam 4.30 pagi,” katanya lagi.

Tambahnya, sehingga kini, LUAS, Air Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang menghentikan sisa kebakaran daripada mengalir ke dalam sungai melalui cadangan pembinaan ban tanah di lokasi.

“LUAS juga akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada kilang
terlibat berkenaan risiko dan ancaman insiden berkenaan kepada kualiti sumber air,” katanya.

Sehubungan insiden itu, tiada henti tugas LRA dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat.

“Kerajaan Selangor sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette