Pegawai Perubatan Andrea Bariatic Surgery, Dr Saifullah Muzakir Yusop ketika temubual khas bersama Malaysia Gazette di Petaling Jaya. foto AFIQ HAMBALI, 30 OKTOBER 2020

PETALING JAYA – Pembedahan Bariatrik atau mengecilkan perut hari ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya buat mereka yang mengalami masalah obesiti.

Apatah lagi kesedaran mula timbul apabila golongan obesiti antara punca tertinggi kematian yang tidak disangka-sangka.

Setiap tahun, angka yang meninggal dunia akibat daripada komplikasi berkait rapat dengan obesiti cukup besar.

Tahun lalu sahaja, Malaysia direkodkan sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk ‘tergemuk’ paling tinggi di Asia yang didedahkan diciapan Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia itu sempena Hari Diabetes Sedunia.

Kementerian itu menjelaskan,sehingga November 2018, Malaysia adalah negara ‘tergemuk’ di Asia kerana 33 peratus rakyatnya berlebihan berat badan dan 18 peratus mengalami obesiti.

Ini menunjukkan berat badan yang jauh melebihi daripada sepatutnya boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung, strok, masalah pernafasan semasa tidur, asma, gagal kawalan air kencing, sakit belakang, ketidaksuburan dan pelbagai lagi.

Rupa bentuk perut selepas menjalani pembedahan bariatrik jenis gastrik sleeve (kiri) dan pintasan gastrik (kanan). Foto Ihsan Andrea Bariatic Surgery.

Justeru, kehilangan berat yang berlebihan itu mampu mengurangkan malah merawati masalah kesihatan yang serius itu.

Pelbagai cara mengurangkan berat badan boleh dilakukan seperti berdiet, aktif bersenam atau mengambil pil kurus tetapi bukan semua orang dapat keputusan seperti yang diingini atas faktor tertentu.

Lantaran itu, pembedahan bariatrik seperti pintasan gastrik dan pembedahan sleeve gastrik antara penyelesaian kepada dilema individu obesiti.

Pembedahan bariatrik ini adalah teknik pembedahan dengan mengubahsuai saiz dan bentuk perut.

Menurut Pegawai Perubatan di Andrea Bariatic Surgery, Dr Saifullah Muzakir Yusop, pembedahan bariatrik sesuai dijalankan ke atas mereka yang indeks jisim badan (BMI) melebihi 35 dan gagal mendapatkan penurunan badan kekal dan konsisten dengan cara lain.

“Bagi mereka yang mencapai BMI 30 dan menderita penyakit seperti diabetes kronik dan masalah jantung berkait dengan obesiti turut disyorkan menjalani pembedahan.

“Kebiasaannya, doktor akan menyarankan diet atau senaman terlebih dahulu bagi mengurangkan berat badan ke tahap yang sihat.

“Namun jika sudah lebih setahun berusaha tetapi masih tidak berjaya, pembedahan bariatrik disyorkan bagi mengurangkan atau merawat masalah penyakit kronik yang berkait rapat dengan obesiti.

“Fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik

“Jangan salah tafsirnya sebagai pembedahan kosmetik,” katanya ketika ditemui di pejabat di sini baru-baru ini.

Pegawai Perubatan Andrea Bariatic Surgery, Dr Saifullah Muzakir Yusop ketika temubual khas bersama Malaysia Gazette di Petaling Jaya. foto AFIQ HAMBALI, 30 OKTOBER 2020

Dr Saifullah menerangkan, selepas pembedahan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan serta menyebabkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang biasa diambil.

Beliau berkata, kehilangan serendah 10-15 peratus daripada berat badan berlebihan sudah mampu mengurangkan risiko-risiko penyakit yang berkait rapat dengan obesiti.

Jelas beliau, kelebihan pembedahan bariatrik mampu memperbaiki kualiti hidup pesakit.

“Selepas pembedahan, pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 serta merendahkan kolesterol.

“Selain itu, ia dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur, pedih ulu hati, memperbaiki pergerakan anggota badan malah menghilangkan sakit teruk pada sendi-sendi tulang akibat berat badan yang berlebihan.

“Masalah kitaran haid wanita obes yang tidak teratur sehingga mengganggu kesuburan juga dapat diperbaiki.

“Dari segi psikologi juga semakin bagus kerana ia meningkatkan keyakinan diri dan pengawalan emosi,” terangnya yang merupakan lulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Australia.

Risiko kematian kesan pembedahan Bariatik sangat rendah. Foto Ihsan Andrea Bariatic Surgery.

Namun Dr Saifullah mengakui apa saja pembedahan pasti ada komplikasi atau risikonya, begitu juga dengan pembedahan bariatrik.

Namun ia berbeza bagi setiap pesakit bergantung kepada sejarah kesihatan dan prosedur yang dijalani. Secara amnya, dengan teknologi moden profil risiko pembedahan bariatrik adalah sama seperti pembedahan rutin lain seperti membuang apendiks atau pundi hempedu.

Jelas beliau, dengan rawatan susulan yang betul dan lengkap, sesi bersama pakar diet dan kaunseling memastikan perawatan komprehensif kepada pesakit.

“Risiko untuk pembedahan pintasan gastrik atau sleeve gastrik untuk bocor ada sebanyak satu peratus.

“Selain itu, pesakit akan dibekalkan dengan pil vitamin sebagai langkah berjaga-jaga untuk nutrisi yang tidak mencukupi akibat pembedahan tersebut.

“Sebab itu pesakit perlu berterusan bertemu doktor selepas pembedahan bagi memastikan penurunan selepas pembedahan yang optimum dan sihat tanpa sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak,” ujarnya sambil memberitahu pusat itu telah melakukan pembedahan bariatrik hampir 1,000 pesakit sejak 10 tahun lalu.

Jelas beliau, sebelum itu pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik perlu bertemu dengan pakar kaunseling pemakanan kerana cara pemakanan selepas pembedahan agak berbeza berbanding sebelum itu.

Pesakit mungkin akan muntah jika masih kekal mengambil jumlah makanan yang banyak seperti sebelum pembedahan kerana perut yang semakin kecil.

Mengenai kos pembedahan, Dr Saifullah mengakui ia agak mahal jika dijalankan di hospital swasta yang boleh mencecah hingga RM38,000.

Namun katanya, nilai itu berbaloi apabila kualiti hidup pesakit menjadi sangat lebih baik selepas pembedahan, dengan memberi contoh salah satu pesakit yang mampu hilang sehingga 60 kilogram dan menjalani kehidupan secara lebih aktif selepas pembedahan apabila mampu berlari maraton sehingga 42 kilometer dan mendaki gunung gunung.

Sementara itu, mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai pembedahan Bariatik boleh mengunjungi Andrea Bariatic Surgery yang terletak di No 47 PJS 11/28B Bandar Sunway bersebelahan Sunway Pyramid.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian +019588788 atau +0123723206. – MalaysiaGazette