Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa supaya memperhalusi kembali cadangan pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pengeluaran simpanan akaun satu tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ini kerana pencarum berhak untuk membuat pilihan kerana simpanan itu adalah milik mereka dan bukannya wang bank persendirian atau duit kerajaan.

“Berdasarkan laporan KWSP, sehingga Disember 2019, jumlah ahli pencarum aktif KWSP adalah sekitar 7.63 juta ahli.

“Daripada jumlah ini, kira-kira tiga juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM20,000 di dalam akaun KWSP mereka.

“Berdasarkan maklumat ini, sekiranya 4.63 juta ahli mengeluarkan RM10,000 daripada akaun satu, manakala tiga juta ahli lagi mengeluarkan RM5,000, maka jumlah besar adalah sekitar RM46.3 billion + RM15 billion = RM61.3 billion.

“Angka ini mampu menjana kegiatan ekonomi dalam negara apabila rakyat menggunakan wang ini untuk membeli barangan keperluan harian. Kedai-kedai harian dapat kembali bernafas dengan perbelanjaan oleh rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahir lagi, KWSP seharusnya tidak gusar kerana mereka telah mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM 5.12 bilion bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2020.

Pada masa sama katanya, berdasarkan kedudukan penyata kewangan berakhir 31 Disember 2018, jumlah aset KWSP adalah mencecah RM1 trillion (sekitar RM894 billion).

Ini bermakna, KWSP mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh dan berada pada landasan yang terbaik ketika krisis ekonomi hari ini, tambah beliau.

Katanya lagi, bantuan pelaburan dan projek-projek dalam negara harus diberikan kepada KWSP sebagai projek pelaburan yang bakal mendapat keuntungan berlipat kali ganda pada tahun hadapan.

Shahir menambah, ini bermakna, KWSP mampu mendapatkan kembali jumlah RM61.3 billion yang diperlukan oleh rakyat, dalam masa yang singkat.

“Situasi kehilangan pekerjaan turut membimbangkan. Pada hari ini seramai 2,200 staf Malindo Air telah diberhentikan kerja. Keadaan seperti ini di kala krisis Covid-19, menyebabkan sukarnya mereka mendapatkan pekerjaan lain atau membuka perniagaan kecil-kecilan.

“Para peniaga hari ini pun sukar untuk mempertahankan perniagaan mereka yang telah beroperasi berpuluh tahun, apatah lagi pekerja yang baru diberhentikan dan mahu membuka perniagaan baru,” jelasnya.

Shahir berkata, DPIM turut menggesa rakyat, terutama mereka yang diberhentikan kerja agar diberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

“Mudah-mudahan negara kita segera keluar dari dugaan dan cabaran wabak Covid-19. Jadikan PRN Sabah sebagai pengajaran. PRN Sarawak dan Pilihanraya Kecil seharusnya dilaksanakan apabila Covid-19 reda.

“Buat masa sekarang, fokuskan kepada usaha menangani Covid-19 dan bantuan ekonomi kepada rakyat. Kebajikan rakyat perlu didahulukan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa nak timbang berat ringan lagi..bagi je lah rakyat kluarkan duit mereka..persetan lah kira2 campur tolak pakar ekonomi tu..mereka org yg berharta berkapuk jadi senang lah cakap itu ini..susah senang rakyat ada ke pakar ekonomi nk tlong beli kita makanan…kau org islam ke..klau kau org islam tentu kau tahu hukum hakam…rezeki dan harta yg kita perolehi hendak lah kita gunakan dan belanjakan untuk perkara yg baik dan dituntut agama…rezeki tu allah swt yg bagi jadi kenapa kamu risau tentang masa depan…skrg ni ramai org dah tk ada kerja..jadi di mana nk cari duit..nak suruh rakyat mencuri ke utk dapatkan makanan?..kau kata simpanan hari tua..org klau tua dah tk kuat mkn lah….bila dah tua anak2 dah ada kerja utk bantu org tua lah..apa punya bodoh kata pakar ekonomi…kalau rakyat tk ada masalah kewangan wajar lah tk boleh kluar tu duit kwsp..tapi sekarang rakyat sedang berhadapan masalah kewangan yg teruk..jadi jgn lagi guna bnyk alasan…bagi saja kebenaran pengeluaran kpd yg ingin membuat pengeluaran…bagi tk nk tak apa lah mungkin dia ada sumber kewangan lain.

Comments are closed.