Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) sekali lagi memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneliti semula cadangan pengeluaran wang simpanan pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutama bagi kakitangan industri penerbangan.

Ini adalah keadaan sudah terdesak buat beribu-ribu pekerja di sektor penerbangan yang amat memerlukan wang simpanan mereka.

“Untuk pengetahuan Perdana Menteri, ramai kru kabin hidup susah hari ini.

”Wang simpanan KWSP adalah satu-satunya simpanan buat pekerja yang amat memerlukan wang untuk keperluan mereka dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

”Ramai pekerja ini memohon keluaran sebanyak RM10,000 dan bukan semua amaun simpanan,” kata Shashi Kumar, Timbalan Setiausaha Agong

Dengan ada banyak permohonan ini, kerajaan harus memperhalusi semula cadangan tersebut bagi memberi ruang kepada golongan yang terdesak dan yang amat memerlukan wang simpanan mereka.

Ramai pekerja hari ini dalam keadaan susah kerana isu pemberhentian pekerjaan semakin meningkat.

”NUFAM risau jika wang simpanan KWSP ini tidak dapat dikeluarkan oleh pekerja, maka ramai pula akan meminjam wang dari Ah Long atau peminjam wang yang tidak berlesen. Keadaan ini pasti berlaku jika keadaan mendesak,” ujarnya.

Ramai pekerja dalam sektor penerbangan telah dihentikan pekerjaan mereka dan terbaharu NUFAM dimaklumkan lebih 2,000 pekerja dari syarikat Malindo Air telah menerima surat pemberhentian pekerjaan mereka.

Wang pampasan yang diterima oleh pekerja ini kebanyakannya kurang daripada RM5,000 seorang dan ramai antara pekerja yang dibuang itu dalam golongan B40 dan M40.

”Jadi,macam mana mereka mahu menangggung kehidupan mereka dalam tempoh masa yang akan datang jika kerajaan tidak memberi kelonggaran ini?

”Dengan itu, NUFAM ingin memohon pihak kerajaan terutama sekali YAB Perdana Menteri meniliti semula permohonan dan cadangan kami,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kwsp perlu membenarkan pengeluaran untuk akaun 2 dahulu bagi tujuan kelangsungan hidup akibat tiada pekerjaan atau gaji perkerja telah dikurangkan.

Comments are closed.