HULU LANGAT – Kejadian banjir kilat yang berlaku sekitar Hulu Langat akibat hujan berterusan sejak malam tadi berpunca daripada jumlah taburan hujan paling tinggi sejak 10 tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar hujan yang turun malam tadi melebihi kapasiti Sungai Langat iaitu pada kadar 164 mililiter.
“Kita percaya masalah ini berlaku disebabkan keadaan turun hujan yang tinggi dan kali terakhir kadar tersebut ialah pada 2010.
“Sungai ini berkapasiti sekitar 85mm hingga 90mm dan sudah pasti ia melimpah dan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan Sungai Serai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, di sini, hari ini.
Terdahulu, penduduk sekitar Hulu Langat hampir terputus hubungan apabila jalan utama di Kampung Sungai Serai dan Kampung Dusun Nanding serta kawasan sepanjang Sungai Langat ditenggelami air dalam kejadian banjir akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Amirudin berkata, limpahan air dari Empangan Langat juga turut menyebabkan beberapa kawasan di sepanjang Sungai Langat ditenggelami air.
“Saya dimaklumkan Empangan Langat telah melimpah daripada kadar biasa dan ia secara automatik begitu.
“Bila berlaku lebihan kapasiti, ia akan automatik menolak keluar air hujan itu untuk menyeimbangkan takungan dalam kolam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















