KUALA LUMPUR – Mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengambil sikap tunggu dan lihat.
Ini keranan pimpinan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu tidak mahu terlalu awal ‘bertepuk tangan’ dengan hanya melihat keindahan kulit luar sahaja sebaliknya mahu melihat isi atau pelaksanaannya nanti.
Ini kerana, kata presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, setiap kali pembentangan bajet, ternyata dasar dan pelaksanaannya gagal disebabkan berlaku unsur rasuah, ketirisan, salah guna kuasa, pilih kasih, nepotisma, pembaziran dan bersifat political selective.
“Kenyataan polisi sentiasa hebat dan selalu semua pihak bertepuk tangan memuji apatah lagi golongan yang tidak mahu mengambil risiko dan sentiasa mencari faedah sambil menyelam minum air.
“Persoalan pokok bukan pengumuman itu dan ini tetapi pelaksanaannya. Contoh terbaik ialah sama ada zaman BRIM Barisan Nasional (BN) atau BSH Pakatan Harapan (PH) terdapat rakyat yang berhak menerima bantuan dinafikan dengan pelbagai alasan seperti syarat gagal dipenuhi.
“Agihan projek juga sama, berlaku pilih kasih atas nama parti. Ini berlaku di zaman BN lebih 60 tahun dan zaman PH selama 22 bulan. Kini zaman PN pula. Orangnya sama tapi berbeza baju,” katanya dalam kenyataan balas berhubung Belanjawan 2021 hari ini.
Ibrahim berkata, secara umum hanya 60 peratus sahaja mengalir selebihnya hilang dan membazir kerana ketirisan, rasuah, salah guna kuasa serta pemborosan.
Beliau berharap, Belanjawan 2021 yang diselubungi dengan wabak Covid-19 tidak akan menjadi indah khabar dari rupa dan menasihatkan rakyat agar tidak tergesa-gesa membuat keputusan yang merugikan diri sendiri.
Katanya, sehebat mana sekali pun belanjawan, ia hanya retorik dan segelintir sahaja mendapat faedah iaitu puak parti yang menguasai kerajaan, kaum kerabat dan sahabat proksi.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut bimbang dengan pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abd. Majid, di mana 59.9 peratus atau RM82.723 bilion dari Terimaan Pinjaman Baharu Kerajaan Persekutuan bagi Tahun 2019 digunakan untuk membayar hutang.
“Hanya 29 peratus sahaja disalurkan untuk pembangunan. Rakyat pasti tidak tahu selama ini jika tidak didedahkan. Kena berhutang untuk bayar hutang. Pelik, tapi benar.
“Bagaimana hutang negara melebihi RM1 trilion dan pinjaman dibuat untuk membayar kadar faedah dan hutang negara? Bagaimana jangkaan pendapatan negara bila harga minyak belum stabil, kesan Covid-19 dan perniagaan terjejas? Di manakah sumber pendapatan?
“Sepatutnya duit pinjaman digunakan untuk pembangunan bagi menjana ekonomi rakyat dan negara,” katanya.
Beliau turut menjangkakan defisit Belanjawan 2021 merupakan yang terbesar dalam sejarah belanjawan negara dianggarkan RM50 bilion atau lebih, jika diambil kira pelbagai hutang sedia ada serta bayaran bunga, yang akan menakutkan dan mencemaskan semua pihak.
Jelasnya, negara kehilangan banyak sumber pendapatan akibat kelemahan agensi pelaksanaan yang berpunca dari rasuah berpanjangan menyebabkan kerajaan kehilangan pelbagai punca cukai dalam banyak sektor.
“Contohnya, Jabatan Kastam yang bertanggungjawab terhadap duti import dan berpuluh lagi agensi penguatkuasaan yang menyebabkan kerajaan kehilangan sumber pendapatan.
“Penipuan pembayar cukai syarikat juga tidak sedikit. Ianya cerita yang tiada penghujung dan noktah.
“Oleh itu, Putra mencadangkan semua kelemahan dan peranan agensi serta institusi penguatkuasaan termasuk di pintu masuk sempadan dibuat pembedahan besar besaran dan disusun semula supaya tidak berlaku ketirisan berlanjutan,” katanya.
Beliau turut mengulangi pendirian parti itu supaya gaji, elaun ahli politik dari jawatan Perdana Menteri sehingga pegawai khas Menteri dan semua Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif GLC dan Badan Berkanun dikaji semula.
Katanya, jawatan bertaraf menteri juga perlu dihapuskan kerana membazir wang rakyat dan negara. – MalaysiaGazette
















