KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor merayu rakyat negeri itu agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19 semakin meningkat.
Katanya, peningkatan semula kes positif di negeri itu kepada dua digit sejak semalam, jelas membimbangkan kerajaan negeri.
“Saya merayu rakyat Kedah terus mematuhi SOP, elakkan tempat berisiko. Aktiviti ziarah menziarahi belum sesuai pada waktu ini.
“Silaturahim boleh terus dipereratkan menerusi panggilan video atau aplikasi media sosial yang pelbagai medium,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Petang tadi, Menteri Kanan (Keselamatan) mengumumkan enam negeri termasuk Kedah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu mulai 9 November ini.
Ini berikutan kes positif Covid-19 di enam negeri berkenaan termasuk Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu menunjukkan trend peningkatan.
Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya mengambil maklum langkah pelaksanaan PKPB yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selama empat minggu bermula 9 November hingga 9 Disember ini.
Kata beliau, setiap tindakan itu ada kesannya sama ada positif mahupun negatif dan pematuhan SOP amat penting untuk keadaan akan segera pulih serta ekonomi tidak terjejas lebih teruk. – MalaysiaGazette
















