Jenazah Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) selepas selesai proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Keputusan penuh hasil bedah siasat dua mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati akan dikemukakan setelah pihaknya polis mendapat laporan penuh makmal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, proses bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, jam 1 tengah hari tadi.

Kedua-duanya ialah jenazah Allahyarham Komander (B) Mohamed Sabri Baharom dan Allahyarham Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi.

Menurut Mohamad Farouk, proses bedah siasat itu bermula jam 9 pagi tadi yang diketuai oleh Ketua Unit Forentik, Jabatan Patologi, Prof Dr. Faridah Mohd Nor.

“Bedah siasat mula dilakukan pada Mohammed Sabri (juruterbang) dan kemudiannya diikuti oleh Mohd Irfan Fikri (penumpang).

“Bedah siasat pertama selesai kira-kira jam 11 pagi manakala bedah siasat mangsa kedua selesai kira-kira jam 1 tengah hari.

“Kedua-dua jenazah telah diserahkan pada waris masing-masing untuk dikebumikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk juga berkata,  polis telah merakam percakapan seramai tujuh saksi dan telah mengenal pasti lebih kurang 20 saksi lain untuk dirakam percakapan mereka.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mengedarkan video dan gambar berkaitan insiden di media sosial, bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta menganggu siasatan,” katanya.

Pihak Polis Ampang Jaya juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi di talian telefon 03-4289 7343 atau 03-4289 7344 untuk menyalurkan maklumat. Siasatan masih diteruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette