Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, masyarakat perlu hidup bersama kehadiran virus Covid-19 dan mula mengamalkan norma baharu.

Masyarakat juga, katanya, perlu akur arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekang virus tersebut daripada terus merebak.

“Tidak akan ada perkara atau kembali kepada kehidupan normal lagi.

“Ini (PKPB) adalah normal baharu sebab virus sudah ada dalam kalangan masyarakat. Jadi kita kena hidup dengan virus ini dan terima normal baharu untuk terus hidup,” katanya ketika ditanya sama ada PKPB akan diteruskan selepas sebulan dilaksanakan di beberapa negeri di Malaysia.

Menjelaskan perkara itu, Dr Noor Hisham berkata, PKPB adalah pilihan terbaik kerajaan dalam memastikan pandemik ini dapat dibendung.

Katanya pelaksanaan PKPB adalah lebih baik daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia lebih membawa kesan positif khususnya kepada sektor ekonomi negara.

“Kami gunakan PKPB dan lihat kesan positif contohnya jumlah jangkitan telah menurun dan kita kena pastikan kita bendung jangkitan itu. Biasanya kita akan putuskan rantaian dan ia akan berkurangan dengan jelas.

“Itu strategi kita kita tapi kita harap dengan memperketatkan pergerakan dari zon kepada zon lain dan daerah ke daerah lain, itu cara terbaik untuk mengekang penularan Covid-19.

“Selagi ada pergerakan, sebagai contoh perhimpunan ada risiko untuk dijangkiti Covid-19,” katanya lagi.

Tambah Dr Noor Hisham, PKPB adalah pilihan terbaik dan perlu diperketatkan.

“Perkara terbaik adalah melaksanakan PKPB daripada PKP.

“Sekarang kita perlu melihat kembali strategi kita jadi kita tambah baik PKPB dan menghadkan pergerakan,” katanya lagi.

Kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu dan berakhir pada fasa keempat pada 12 Mei.

Selepas itu, PKP digantikan dengan PKPB dari 13 Mei sehingga 31 Ogos lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember depan.

Bagaimanapun ekoran gelombang ketiga PKPB dilaksanakan semula melibatkan semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak sehigga 6 Disember depan. – MalaysiaGazette