Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengawal dan menamatkan sejumlah 125 kluster yang menyebarkan wabak Covid-19 di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu merupakan daripada 276 jumlah kluster yang dipantau KKM sehingga semalam.

“Sehingga 9 November 2020, jumlah kluster yang dipantau oleh KKM adalah sebanyak 276 kluster. Daripada jumlah tersebut, kluster aktif yang masih dipantau oleh KKM adalah sebanyak 151 kluster dengan jumlah individu yang disaring adalah seramai 129,227 orang.

“Sebanyak 125 kluster telah tamat dengan jumlah individu yang disaring adalah seramai 194,527 orang,”katanya dalam jawapan lisan bagi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan kluster yang menyebarkan pandemik Covid-19 di negara ini.

Turut diminta bilangan yang telah dikawal sepenuhnya dan bilangan kluster yang masih aktif terkini dan setakat manakah kluster-kluster ini telah memberi kesan kepada penyebaran Covid-19 di negara ini.

Adham berkata, kluster terbesar yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM adalah Kluster Tabligh Sri Petaling melibatkan sebanyak 3,375 kes dan seramai 42,023 orang disaring.

“Kes pertama bagi kluster itu adalah pada 11 Mac 2020 dan kluster diisytihar tamat pada 8 Julai 2020. Kes- kes indeks merupakan individu-individu yang menghadiri perhimpunan keagamaan di Masjid Sri Petaling.

“Punca jangkitan adalah dipercayai dari jangkitan import dari Indonesia. Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, kes indeks dan kontak rapat dikenalpasti serta ujian pengesanan Covid-19 telah dijalankan. Kesemua mereka dikesan positif Covid-19 dan siasatan kontak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu untuk rekod, sehingga semalam, daripada 151 kluster aktif yang dilaporkan, kluster yang melaporkan kluster yang terbanyak adalah Kluster Kediaman dengan 64 kluster; diikuti dengan Kluster Tempat Kerja dengan 63 kluster; Kluster Pusat Tahanan dengan 9 kluster; Kluster Kumpulan Berisiko (anggota kesihatan dan warga emas) dengan 9 kluster; Kluster Keagamaan (selain kluster Tabligh SP) dengan 3 kluster dan Kluster Import dengan 3 kluster. – MalaysiaGazette