KUALA LUMPUR – Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menyokong penuh Belanjawan 2021 yang telah diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz Jumaat lalu.
Dalam kenyataan bersama empat presiden parti dalam PN, mereka menyatakan Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion itu merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara.
Kata mereka, ini merangkumi lebih RM4.2 bilion untuk mengurangkan beban rakyat, lebih RM4 bilion kepada barisan hadapan dalam memerangi Covid-19, dan RM3 bilion untuk menjana kira-kira 500,000 pekerjaan.
“Semua ini adalah manifestasi komitmen serta keprihatinan kerajaan PN dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, terus terbela dalam menghadapi penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Dr. Jeffrey Kitingan; dan Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Seri Tong Teck Lee.
Menurut kenyataan itu lagi, amat wajar semua pihak mendokong titah Yang di-Pertuan Agong agar mengutamakan rakyat dalam tempoh yang mencabar bagi negara ketika ini.
“Belanjawan 2021 juga merupakan kesinambungan empat pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan PN sebelum ini yang bernilai RM305 bilion keseluruhannya.
“Dalam hal ini, jelas kerajaan PN tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
“Sehubungan itu, gandingan bahu setiap pihak amat penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















