Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Perak sedang memantau dan mencadangkan langkah untuk kerja menstabilkan struktur cerun di kawasan  tanah runtuh di Resort Banjaran Hot Spring, Tambun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya dimaklumkan masih berlaku pergerakan tanah berlaku di lokasi runtuhan.

Menurutnya, Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dan wakil dari Pejabat Menteri Besar telah berada di lokasi bagi membantu jabatan dan agensi terlibat.

Dalam pada itu, kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan susulan tragedi itu dan memastikan kejadian sama tidak berulang.

Menteri Besar juga mengucapkan takziah kepada anggota keluarga dua mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan penyelamat yang telah bekerja keras mengesan mayat kedua-dua mangsa sejak dimaklumkan tentang tragedi ini pada jam 1.45 pagi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa lelaki dan wanita berusia 30-an ditemui pada jam 9.55 pagi ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Goh Boon Keng, kedua mangsa ditemui selang lima minit antara satu sama lain.

“Mereka ditemui duduk berdekatan dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Boon Keng. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah runtuh di Tambun, dua dikhuatiri tertimbus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast