Dari kiri - Abdul Rahman Yusuf, Shamsudin Zakaria. foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2020.

KLANG – Penduduk di Meru hari ini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap ancaman penularan Covid-19 daripada kalangan pekerja Top Glove menerusi Kluster Teratai.

Sebagai salah seorang penduduk Taman Daya, Shamsudin Zakaria berkata, lokasi kediamannya yang hanya bersebelahan dengan asrama pekerja syarikat pengeluar sarung tangan getah berkenaan di Jalan Teratai mencetuskan rasa tidak selamat apabila melihat pekerja Top Glove bebas bergerak ke pekan daerah berkenaan.

“Kami amat bimbang pihak Top Glove tidak menggunakan kaedah terbaik dalam menangani penularan Covid-19, apatah lagi pekerja-pekerjanya keluar ke Pekan Meru terutama pada hujung minggu.

“Kami penduduk Meru dukacita dengan keadaan seperti ini dan kita tidak mahu penularan berlaku kepada orang tempatan pula,” katanya ketika sidang media di sini.

Beliau turut mendakwa Top Glove tidak melaksanakan prosedur  operasi standard (SOP) yang ketat terhadap semua pekerjanya yang ramai di Pekan Meru itu.

Pada 8 November yang lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan seramai 76 kes sehingga hari ini membabitkan pekerja Top Glove dan dikategorikan sebagai Kluster Teratai.

Kluster Teratai ini dikenalpasti melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat di negeri Selangor.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Taman Daya, Abdul Rahman Yusuf berpendapat kediaman pekerja syarikat berkenaan perlu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)memandangkan status kakitangan mereka tidak diketahui.

“Kalau tempat lain, sudah dikenakan PKP tetapi kenapa di situ (asrama pekerja Top Glove) tidak buat?. Asrama pekerja Top Glove itu besar, dua tingkat, maksudnya ramai yang tinggal di situ,” katanya.

Justeru beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor bekerjasama dalam menangani kebimbangan penduduk Meru buat masa ini.

Turut hadir ketika sidang media Presiden Gerakan Masyarakat Prihatin (GMP) Hasan Kuthoos Syen Ahmed Kabeer.

Selaku NGO yang mewakili penduduk tempatan di Meru, Hasan berharap Kluster Teratai yang melibatkan pekerja Top Glove ini ditangani dengan sebaik-baiknya, khusus dalam ketetapan pergerakan kesemua penduduk yang tinggal di kawasan Meru, Klang.

“Kita tahu kes sedang meningkat sekarang, jadi penduduk di sini sudah tentu tidak mahu nyawa mereka terancam, melihat pekerja Top Glove yang bergerak sesuka hat, ramai penduduk tempatan bimbang,” kata beliau.

Hasan juga berharap tidak ada maklumat yang disembunyikan oleh mana-mana pihak berhubung kes Covid-19 semata-mata menjaga kepentingan pihak tertentu dalam isu Kluster Teratai ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. hahahaha.. baru ingat PKP itu bagus untuk menyekat penularan.. sapa yang gatai kata PKP ini sebenarnya hanya satu tindakan tidak rasional maka dinasihatkan supaya berpindah tinggal di meru kelang atau di senawang . lebih baik jika ia berdekatan dengan kilang yang terlibat dengan penularan covid19 untuk mendapat pengalaman baru..

Comments are closed.