Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Cadangan Datuk Seri Najib Razak agar rakyat diberikan pilihan mengeluarkan caruman simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat bersasar dan lanjutan moratorium secara automatik merupakan suara hati rakyat.

Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta memperhalusi cadangan yang disokong oleh pelbagai pihak itu kerana suara keramat rakyat perlu diberi perhatian oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pada masa ini ramai yang hilang pekerjaan dan situasi ini semakin membimbangkan.

”Minggu lepas, seramai 2,200 kakitangan Malindo Air telah diberhentikan kerja. Di kala krisis Covid-19, menyebabkan sukarnya mereka mendapatkan pekerjaan lain atau membuka perniagaan kecil-kecilan.

”Para peniaga hari ini pun sukar untuk mempertahankan perniagaan mereka yang telah beroperasi berpuluh tahun, apatah lagi pekerja yang baru diberhentikan dan mahu membuka perniagaan baru.

“Langkah kerajaan hanya membenarkan pengeluaran RM500 sebulan dari Tabung 1 KWSP dikhuatiri tidak mampu memberikan suntikan modal kepada golongan yang diberhentikan kerja dan mahu membuka perniagaan kecil-kecilan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Manakala lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang bermula pada Mac lalu.

Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 9,875 menutup operasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac sehingga 9 Jun 2020 dan sebanyak 22,794 syarikat dan perniagaan menutup operasi bagi tempoh PKP iaitu 10 Jun sehingga September 2020.

Disebabkan itu, moratorium secara automatik wajar dilaksanakan untuk memberikan suntikan ekonomi tempatan agar rakyat dapat berbelanja untuk kelangsungan syarikat-syarikat kecil anak tempatan.

Shahir berkata, pada masa yang sama, golongan M40 perlu diberikan perhatian yang khusus pada Belanjawan 2021 dengan cadangan baru pada waktu ancaman Covid-19.

Cadangan-cadangan yang sama seperti belanjawan tahun-tahun yang sudah adalah tidak pragmatik dalam mendepani isu ekonomi hari ini.

Katanya, kerajaan bersetuju agar kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak 1% bagi pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 setahun – ini telah pun dilaksanakan untuk tahun-tahun sebelum ini.

”Persoalannya, bagaimanakah golongan M40 ini bakal mendapat manfaat seperti ini waktu Covid-19 tatkala ramai golongan M40 dibuang kerja?,” soal Shahir.

Katanya, DPIM gusar sekiranya ramai golongan M40 menjadi B40 pada tahun hadapan.

Tegasnya, sudah pasti kita tidak mahu negara terkebelakang apabila hanya ada golongan T20 dan B80.

Oleh itu, DPIM mencadangkan agar kerajaan persekutuan dan negeri, menerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), mewujudkan peluang pekerjaan yang mahir dan separa mahir bagi mengambil golongan M40 yang diberhentikan pekerjaan.

Lagipun, ujarnya GLC dan GLIC bukanlah tempat untuk memberikan peluang pekerjaan kepada orang politik. Dengarlah suara keramat rakyat.

Dalam apa-apa cara sekalipun, katanya, fokus menangani Covid-19 dan bantuan ekonomi kepada rakyat perlu didahulukan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sehingga kini tak nampak lagi syor2 atau kritikan2 membina tentang belanjawan dari parti ternakan DAP aka KHADAM DAP? Apatah lagi nak bercakap berkenaan isu2 berkaitan dengan perkembangan Islam!

    Patut la sering dilebel sebagai bekas2 menteri dan MP2 low class?

  2. Wayang je tuh dr njibb.. Bukn dia x tahu duit bnyk mna dlm epf.. Saja nk dpt nma… Rasanya klu njibb jd pm pon blom tentu dia bagi klurkn acc 1

Comments are closed.