KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan program Kembara Al-Amin di platform media sosial jabatan itu bagi mencapai sasaran satu juta pengikut sebelum 31 Disember ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Abdul Aziz Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah pengikut media sosial agensi agama khususnya JAKIM.
Sehubungan itu, kata beliau, jabatan itu telah mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan program Kembara Al-Amin iaitu kempen digital bagi mencapai hasrat tersebut.
Katanya, program itu lancarkan Dr. Zulkifli Isnin ini, jam 9.30 pagi secara langsung di laman rasmi @Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Antara objektif program ini adalah menyediakan kandungan baharu di media sosial JAKIM, memperkenal dan mempromosikan produk perkhidmatan kepada pelanggan serta pengikut di media sosial.
“Di samping, mendekatkan hubungan dengan pelanggan serta pengikut JAKIM di media sosial melalui kandungan kreatif yang interaktif dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, Program Kembara Al-Amin adalah jenama utama yang mengandungi beberapa segmen menarik untuk disiarkan dalam bentuk poster, infografik dan video secara berkala di laman Facebook JAKIM.
Jelas beliau, perkataan “Kembara” itu bermaksud perjalanan, jelajah, manakala “Al-Amin” adalah gelaran yang diberikan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud boleh dipercayai.
“Jenama Kembara Al-Amin mengambil inspirasi daripada gelaran Rasulullah SAW dalam menggambarkan perjalanan seseorang untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, tempoh pelaksanaan program itu ditetapkan selama 46 hari mulai 16 November hingga 31 Disember ini bagi mencapai sasaran satu juta pengikut. – MalaysiaGazette
















