Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR- Keseluruhan inisatif di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu kelangsungan hidup rakyat bagi tahun 2020-2021 adalah bernilai RM61 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerajaan sedar KWSP merupakan simpanan ahli tua ahli dan terdapat keperluan untuk mengimbangi antara bantuan untuk menghadapi cabaran masa kini dengan kepentingan persaraan untuk masa depan.

“Kerajaan yakin bahawa pendekatan yang diambil dapat mengimbangi keperluan-keperluan ini.

“KWSP memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memenuhi mandat kepada ahlinya iaitu mengukuhkan jaringan perlindungan sosial melalui pelaburan dan pembangunan secara lebih strategik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, Program i-Sinar yang telah diumumkan KWSP hari ini adalah kesinambungan kepada program i-Lestari (pengeluaran simpanan Akaun 2) yang telah  dilancarkan Mac 2020.

Jelasnya, i-Sinar merupakan hasil beberapa sesi perbincangan yang telah diadakan bersama Kerajaan untuk memperhalusi dan menambah baik inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar.

Hari ini, KWSP mengumumkan inisiatif i-Sinar yang mana syarat pengeluaran adalah terbahagi kepada kategori simpanan Akaun 1 bawah RM90,000 dan kategori simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000.

Buat kategori ahli KWSP yang memiliki simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke
bawah, ahli boleh membuat pengeluaran secara beransur selama 6 bulan sehingga maksimum RM9,000; dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM1,000 sebulan.

Buat kategori ahli yang mempunyai jumlah simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000, ahli dibenarkan mengeluarkan secara ansuran selama 6 bulan sehingga maksimum RM60,000 (tertakluk kepada jumlah simpanan); dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM10,000 sebulan.

-MalaysiaGazette