KUALA LUMPUR – Seramai 37 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam cubaan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran, semalam.
Mereka antara 517 individu lain yang ditahan dalam Operasi Pematuhan di seluruh negara termasuk gagal mematuhi arahan PKP seperti penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan aktiviti di pusat hiburan.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dari jumlah keseluruhan yang ditahan itu, 467 dikenakan kompaun, manakala 50 lagi direman.
Kata beliau, dalam operasi itu juga polis turut merekodkan penahanan 63 peniaga kerana didapati gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 42 individu terlibat dalam aktiviti perjudian.
“Polis yang mengetuai Operasi Pematuhan ini telah membuat sebanyak 58,247 pemeriksaan semalam, yang bertujuan memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 2,923 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,140 anggota telah membuat pemantauan di 3,476 pasar raya, 4,833 restoran serta 1,665 penjaja, 1,244 kilang, 3,289 bank dan 524 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau sebanyak 1,445 terminal pengangkutan darat, 249 terminal pengangkutan air serta 65 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, pasukan keselamatan sentiasa mengawal ketat dari dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.
Kata beliau, secara kumulatif, sejak 1 Mei sehingga 16 November lalu, seramai 8,427 Pati, 789 tekong dan 351 penyeludup berjaya ditahan dengan 227 bot serta 922 kenderaan darat dirampas.
Semalam, katanya, pasukan keselamatan yang menjalankan Operasi Benteng berjaya menahan 51 Pati, dua penyeludup serta merampas masing-masing tiga bot atau kapal dan kenderaan darat.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan terutama di lorong tikus,” katanya. – MalaysiaGazette

















Operasi Benteng cuma cekup pati di sempadan tanpa cekup pati bersepah-sepah cari makan haram jadah free tak bayar kos permit kerja mahupun cukai dalam negara.