KUALA LUMPUR – Menteri dan timbalan menteri disarankan membuat pemotongan gaji sebanyak 30 peratus dari jumlah pendapatan bulanan mereka untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Potongan gaji itu boleh disalurkan ke tabung bantuan Covid-19 bagi meringankan beban rakyat terutama pekerja harian dan peniaga kecil yang terlepas pandang dari insentif kerajaan.
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin ketika membuat saranan itu berkata, kumpulan terjejas itu perlu dibantu.
Katanya, sekiranya wang yang telah dan akan dibelanjakan itu masih tidak mencukupi, kerajaan perlu melakukan inisiatif lain menerusi pemotongan gaji Menteri dan timbalannya.
“Jangkaan kasar pendapatan bulanan Perdana Menteri lebih RM100,000 sebulan dan 30 peratus daripada jumlah ini boleh dipotong untuk disalurkan ke tabung bantuan Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Malah, menurut Shazni Munir, kerajaan Pas Kelantan yang meluluskan kenaikan gaji baru-baru ini juga boleh dipotong 30 peratus sehingga pandemik Covid-19 berjaya dibanteras sepenuhnya.
Kata beliau, cadangan pemotongan dengan kadar itu amat penting untuk membuktikan kesediaan mereka membantu rakyat bukan sekadar retorik.
Beliau memetik ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa wakil rakyat di Kelantan ibaratkan pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.
“Justeru, besar hikmahnya jika kerajaan Persekutuan memahami dan menyahut saranan Timbalan Menteri Besar Kelantan ini dalam mendahulukan rakyat.
“Malah, kadang kala nasib rakyat tempatan ini umpama pekerja asing di tanah air sendiri.
“Ditambah pula ketidakmampuan mereka membayar bil utiliti, sewa dan hutang lainnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mengurangkan hasil perniagaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pengumunan dasar kerajaan dalam menangani Covid-19 yang dilakukan secara mengejut memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap masa depan mereka.
“Menurut Penasihat Institut Penyelidikan Khazanah, Jomo Kwame Sundram, kesannya membuatkan orang ramai enggan membelanjakan wang walaupun mendapat bantuan kewangan dari kerajaan.
“Bahkan, perkara ini bertentangan dengan apa yang diperlukan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

















Potong gaji hang dulu si gempal gemuk-gedebap supaya hang nampak kurus ikat perut demi membantu orang susah kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang okay ke?
Pak Turut adalah cybertrooper Jasa sebab komen dia bersifat peribadi, bukan komen cerdik.
Artikel ni memang berbaloi. Kalau 70 + menteri dan selebih yang dok dalam glc tak buat apa-apa, baik potong gaji untuk covid 19, baru la berjiwa rakyat.