Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengimpikan pasukannya dapat memulakan saingan Liga Malaysia 2021 dengan harapan mampu menyaingi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, pada Februari depan.

Jelas Aidil, pertembungan buat kali keempat antara dua gergasi bola sepak tempatan itu diharap mampu memihak kepada Kedah selepas kali terakhir mereka menjuarai saingan itu pada tahun 2017 selepas menewaskan lawan sama menerusi penentuan penalti.

Meskipun masih terlalu awal meletakkan harapan tinggi kepada perlawanan itu, beliau tidak menafikan sudah menjadi impian setiap pasukan untuk cuba menewaskan pasukan hebat seperti JDT dan bakal bertembung sekali lagi pada tahun hadapan dalam saingan yang  memberi seribu satu harapan buat Aidil dan pasukan untuk bersedia dengan lebih baik.

“Melihat kepada kalendar yang dikeluarkan oleh MFL, saya tengok kita ada banyak masa untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dan tempoh masa lebih dua bulan ini cukup untuk kita buat persiapan pra musim.

“Macam kita tahu, musim ini memang agak lewat sedikit untuk kita habiskan Liga Malaysia, tetapi dengan kalendar yang sudah keluar awal ketika ini, kita sudah boleh membayangkan sasaran awal khususnya dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

“Saya rasa memang impian semua pasukan untuk tewaskan JDT, mereka pun sudah tiga kali memenangi trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan apabila sekali lagi Kedah akan menentang mereka, saya rasa sudah tiba masa untuk kita cuba menyaingi JDT.

“Tetapi macam mana pun, bukan kita hanya ingin fokus satu perlawanan itu sahaja, kerana apa yang penting adalah konsistensi selepas perlawanan tersebut untuk Kedah cuba bertahan di kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2021”, jelasnya.

Semalam, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kalendar Liga Malaysia 2021 yang menyaksikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah bakal berlangsung pada 26 Februari 2021 di antara JDT dan Kedah.

Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat kali ke-23 baru-baru ini memutuskan Kedah akan mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai status naib juara CIMB Liga Super 2020 selepas tiada pemenang Piala FA dan TM Piala Malaysia yang mana kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Ketika ini, Aidil mahu barisan pemain mengambil peluang merehatkan fizikal dan minda secukupnya sebelum diberikan tugas untuk mempersiapkan diri daripada aspek kecergasan terlebih dahulu.

“Liga Malaysia 2020 sudah habis, jadi saya mahu pemain-pemain yang ada untuk meneruskan musim 2021 berehatlah sepuas-puasnya dahulu sebelum kita bagi program untuk latihan kecergasan pula.

“Bagusnya kita sudah tahu lebih awal kalendar musim 2021, dan kita boleh menyediakan segala program dengan lebih tersusun untuk mereka ikut segala jadual yang akan disediakan oleh jurulatih kecergasan kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette