Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe (kiri) bersama anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis perindustrian yang menyimpan 40 tong cecair kimia berjadual disyaki terbabit dalam pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor di di Taman Velox, Rawang. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2020.

GOMBAK – Mahkamah Majistret Selayang hari ini membenarkan perintah remah terhadap seorang pengarah syarikat yang ditahan untuk membantu siasatan polis bersabit pencemaran Sungai Selangor disambung sehari lagi.

Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu pagi tadi apabila suspek dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari dan berbaju lokap jingga.

Suspek berusia 58 tahun itu dikenalpasti sebagai pengarah syarikat yang membekalkan bahan kimia ditahan di Pusat Perindustrian Tengas, Ulu Yam, Hulu Selangor pada 12 November lalu sekitar jam 6.30 petang.

Beliau kemudian direman selama tujuh hari sejak 13 November lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Suspek dipercayai menjual sisa-sisa bahan buangan kimia berjadual yang dijumpai di Taman Velox itu kepada salah seorang suspek daripada empat tangkapan pertama.

Dia merupakan suspek kelima yang ditahan secara berasingan dalam kes pencemaran sungai Selangor yang memaksa Loji Rawatan Air Indah Water Konsortium Rantau Panjang di Taman Velox, Rawang ditutup.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe sebelum ini mendedahkan siasatan polis ke atas sebuah premis yang terletak 300 meter dari LRA Taman Velox berjaya menemui 40 tong cecair kimia seberat 40,000 liter yang disyaki disimpan untuk dilupuskan menggunakan lubang kumbahan premis yang disewa wanita itu dengan wang pendahuluan RM3800.

Pada 11 November lalu, Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, empat suspek termasuk seorang wanita India Muslim direman selepas polis berjaya menemui premis di Taman Velox dijadikan setor menyimpan bahan kimia berjadual untuk dilupuskan.

Katanya, kesemua suspek telah ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan yang dijalankan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya untuk disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan dilakukan ke atas empat individu iaitu seorang wanita India Muslim berumur 40 tahun, seorang lelaki India, 43 tahun, seorang lelaki Cina, 42 tahun dan seorang lelaki Bangladesh, 33 tahun,” katanya.

Tangkapan itu dibuat berdasarkan laporan polis oleh pegawai penguatkuasa Lembaga Urusan Air Selangor (LUAS) sekitar jam 3.30 petang yang mengesan pencemaran bau tersebut awal minggu lalu.

Susulan kejadian itu, seramai 1.13 juta pemilik akaun air atau 1,139,008 pengguna dari 1,279 kawasan di KUala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas bekalan air.-MalaysiaGazette

40 tong bahan kimia ditemui dipercayai ada kaitan pencemaran Sungai Selangor

Wanita antara 4 suspek diberkas cemar LRA Rantau Panjang