Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam satu sindiket penyeludupan dadah ke Sabah dan Sarawak ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 19 NOVEMBER 2020.

SHAH ALAM – Enam individu termasuk seorang dalang kepada satu sindiket pengedaran dadah untuk pasaran Sabah dan Sarawak ditahan dalam lima serbuan berasingan pada 17 November lalu.

Penahanan kelima-lima suspek warga tempatan dan seorang warga asing berusia 34 hingga 56 tahun itu sekaligus ‘mematikan’ satu rangkaian kegiatan pembekalan dadah yang beroperasi sejak awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya dengan kerjasama (JSJN) Kontinjen Selangor, JSJN Kuala Lumpur dan JSJN Pahang berjaya merampas 96.93 kilogram pelbagai jenis dadah.

Dalam serbuan bermula jam 11.40 pagi hingga 2 petang Selasa itu di kediaman dan bengkel, polis menyita syabu seberat 75.99kg, ectascy (5.82kg), ketamin (1.12kg), heroin (450gram) dan erimin 5 (13.01kg) yang bernilai RM4.81 juta.

Antara dadah yang berjaya dirampas dalam satu sindiket penyeludupan dadah ke Sabah dan Sarawak ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 19 NOVEMBER 2020.

“Lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga negara Thailand dipercayai isteri kepada salah seorang sindiket ditahan dalam lima serbuan berasingan itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada enam suspek yang ditangkap itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan turut mendapati dua suspek daripadanya mempunyai rekod dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) ADN 1952 (memasukkan dadah ke dalam badan),” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.

Menurutn Razarudin, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan keenam-enam suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 18 November 2020.

“Turut disita pelbagai aset sindiket termasuk enam kenderaan bernilai RM620,288; wang tunai berjumlah RM264,143.70; barang kemas bernilai RM39,110.10 dan dua jam bernilai RM60,000,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pihak JSJN Bukit Aman mempunyai talian hotline 012-2087 222 bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai jenayah dan aktiviti dadah.

“Dengan maklumat orang ramai kita dapat memastikan musuh nombor satu negara kita ini dapat dikurangkan, apabila bekalan dikurangkan, permintaan pun berkurangan.

“Usaha untuk membanteras dadah bukan sahaja pihak polis, ia juga tanggungjawab masyarakat untuk membantu kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast