KUALA LUMPUR – Dua sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) selesai mengadakan mesyuarat khas dalam dua sesi berasingan, semalam.
Mesyuarat Khas Pergerakan Wiranita dan Pergerakan Wirawati Putra Malaysia itu berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan dipengerusikan Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali di pejabat pusat di sini.
Menurut Dr. Ibrahim, mesyuarat itu membincangkan agenda perasmian dan persidangan sayap parti yang dijadualkan 10 hingga 11 Disember ini serta persiapan Perhimpunan Agung Putra yang pertama pada 12 Disember.
“Walaupun kehadiran kepimpinan kedua-dua sayap agak terhad kerana mematuhi SOP pandemik Covid-19, saya bangga kerana masing-masing menunjukkan komitmen yang luar biasa terhadap perjuangan parti.
“Kami bermesyuarat dan mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara terutama penetapan tarikh mesyuarat agung dan perhimpunan agung parti,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung Putra Malaysia, Borhan Ahmad Zakaria. – MalaysiaGazette















