Hamzah Zainuddin.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan sokongan padu terhadap Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausahanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyeru semua pihak terus menyokong dan mempertahankan belanjawan tersebut.

Katanya, usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 dalam negara dan hal-hal berkaitan pentadbiran dan pengurusan parti antara perkara penting yang telah dibincang dan dimuktamadkan oleh MPT dalam mesyuarat semalam.

“Dalam hal berkaitan pengurusan parti, MPT telah memutuskan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi tahun 2020 akan dilaksanakan secara maya buat pertama kalinya melalui sidang video (video conference) pada 28 November ini.

“Persidangan atas talian tersebut akan disertai oleh para perwakilan PAT dari seluruh negara dan akan dilaksanakan mengikut negeri di lokasi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hamzah, Mesyuarat MPT juga telah memutuskan untuk mengangkat cadangan bagi meminda perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baharu ahli bersekutu Bersatu ke Persidangan Agung Tahunan 2020.

“Selain merupakan wadah utama di semua peringkat, Perhimpunan Agung Tahunan kali ini juga akan membincangkan hala tuju dan dasar parti dalam aspek ekonomi, politik serta kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.- MalaysiaGazette