KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai orang tengah bagi mendapatkan projek syarikat minyak dan gas direman selama enam hari bermula hari ini hingga 29 November ini.
Ia bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah daripada seorang individu berjumlah kira-kira RM200,000.
Perintah itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Norliza Hussin di Mahkamah Shah Alam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor membuat permohonan tersebut pagi ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
Difahamkan, suspek yang kini tidak bekerja itu telah meminta wang rasuah terbabit mewakili bapa saudaranya yang merupakan Naib Presiden sebuah anak syarikat minyak dan gas
Ia sebagai balasan bagi membantu mendapatkan projek pemasangan paip gas di Pantai Timur.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Norliza turut memerintahkan seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 November depan kerana disyaki meminta wang rasuah sebanyak RM200 daripada seorang individu.
Suspek lelaki yang bertugas di Unit Kandang Anjing di PBT terbabit meminta wang rasuah sebagai balasan melepaskan dua ekor anjing milik individu berkenaan yang ditangkap kerana berkeliaran di tempat awam.
Suspek berusia 59 tahun berkenaan ditahan oleh SPRM Cawangan Klang, Selangor di pusat kurungan haiwan PBT terbabit kira-kira pukul 4.30 petang semalam dalam satu operasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit. – MalaysiaGazette
















