Nazir Hussin Akhtar Hussin (kanan) meluangkan masa melawat salah sebuah rumah penduduk, Mardziah Mohamad (kiri) yang terjejas banjir pada Penyampaian Bantuan Kewangan Mangsa Banjir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat hari ini menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada 250 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku di sekitar ibu negara pada 17 November lalu.

Pengerusinya, Datuk Nazir Hussain Akhtar Hussin berkata, peruntukan mangsa banjir itu bukan sahaja kepada penduduk Kampung Baru, bahkan ia melibatkan Taman Maluri dan Keramat.

Nazir Hussin Akhtar Hussin (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima, Roslan Abu (dua kanan) pada Penyampaian Bantuan Kewangan Mangsa Banjir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2020.

“Hari ini kita turun untuk memberi bantuan kepada 250 buah keluarga itu, terdiri daripada kawasan Kampung Baru, Keramat dan Taman Maluri.

“Setiap keluarga kita memberikan sumbangan wang tunai sebanyak RM200 dan kita ambil maklumat mereka daripada persatuan penduduk dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKP).

“Dari situ, kita turun ke rumah mereka, kenal pasti mangsa dan hari ini kita panggil mereka untuk menerima bantuan,” katanya kepada pemberita semasa Penyampaian Bantuan Kewangan Mangsa Banjir di Dewan Kg Paya, Kampung Baru, hari ini.

Selain itu, Yayasan Bank Rakyat turut menyampaikan bantuan sama kepada 450 keluarga yang terjejas teruk dalam bencana alam itu di Hulu Langat, baru-baru ini.

250 Nazir Hussin Akhtar Hussin beramah mesra dengan sebahagian penerima pada Penyampaian Bantuan Kewangan Mangsa Banjir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2020.”Jika kita diizinkan Allah kita akan mulakan lebih banyak lagi langkah untuk meraih lebih banyak dana dan untuk kita bantu lebih ramai keluarga yang memerlukan.

“Bukan sahaja kepada keluarga yang terjejas di Kuala Lumpur bahkan bantuan ini diteruskan di seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette