KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaafar diberi kata dua oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said sama ada untuk meneruskan menjawab atau melayan pertanyaan SN Rayer (Jelutong-DAP).
Ini berikutan, di peringkat awal Kamaruddin bangun untuk menjawab perbahasan dari sembilan Ahli Parlimen berkaitan bidang tugas kementeriannya, beliau diganggu oleh Jelutong yang memintanya membuat pendirian berhubung kenyataan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menggelarkan Amerika Syarikat sebagai negara pengganas.
Walaupun, Kamaruddin memberi jaminan akan menjawab pertanyaan itu selepas selesai penggulungannya, namun, Jelutong tetap mengulangi soalan sama berulang kali, menyebabkan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu meninggikan suara.
Sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali SN Rayer bangun mengulangi soalan sama, sehingga memaksa Azalina memberi kata dua kepada Kamaruddin.
“YB Timbalan Menteri, hendak beri laluan atau tidak (kepada Jelutong), kalau tidak mahu, YB Timbalan Menteri boleh teruskan menggulung.
“Masa YB ada sembilan minit lagi, saya tidak akan beri masa tambahan,” kata Azalina cuba mengawal keadaan ketika sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelutong membangkitkan persoalan itu berikutan gesaan Dr. Nik Muhammad Zawawi agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertegas dengan negara Uncle Sam itu.
Malah katanya, Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada negara lain berkaitan isu antarabangsa antaranya kes Kashmir, Palestin dan apa yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Myanmar.
Menurut Kamaruddin, Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang bebas dan merdeka.
Katanya, jika Malaysia menerima tekanan dari negara luar, kerajaan akan menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan dan mencari jalan penyelesaian.
“Kita ada dasar dan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana negara,” katanya.
Serentak itu, SN Rayer mencelah, bertanyakan apa pendirian Malaysia terhadap AS selepas Ahli Parlimen sebelah kerajaan menggelarkan negara itu pengganas.
Kata Jelutong, jika Malaysia mengecopkan AS negara pengganas, bagaimana kerajaan hendak mendapatkan semula sejumlah wang yang dikaitkan dengan skandal 1MDB yang berada di negara Uncle Sam itu.
“Mengenai hubungan Malaysia dengan AS, kalau Malaysia copkan AS negara pengganas, macam mana kita nak ambil balik duit 1MDB yang begitu banyak ada di negara itu,” katanya.
Sekali lagi Kamaruddin mengulangi akan menjawab soalan itu selepas habis penggulungan, tetapi Azalina minta agar Timbalan Menteri itu membahagikan masa iaitu 10 minit menggulung dan baki lima minit lagi untuk menjawab pertanyaan.
Beliau turut menyentuh mengenai persoalan Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanya mengenai krisis Laut China Selatan dengan negara China.
Menurut Kamaruddin, proses rundingan sedang berjalan dan akan dijelaskan oleh Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Saya setuju bahawa tidak semudah itu diselesaikan, tetapi kita akan terus bincang dalam pelbagai peringkat dan medan.
“Ada kes khusus yang hanya Menteri Keselamatan akan sentuh (jawab). Bagaimanapun, di peringkat Kementerian Luar Negeri, kita pilih untuk adakan hubungan diplomasi menerusi nota-nota diplomasi,” katanya. – MalaysiaGazette
Dengan penjajah British bawa masuk kaum pendatang cina keling diberi taraf warganegara tempatan yang sewajarnya diberi warganegara British sebab menguntungkan ekonomi British pun akur jer. Inikan pula dengan US. Sudahlah …