Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad menyambut ketibaan bekas banduan penjara Tapah sebelum diserapkan ke program I-Kembali yang diterajui oleh Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) di Pusat Ghulam Recovery Care Cantre (GRCC), Sepang. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

SEPANG – Peneraju program i-Kembali atau lebih dikenali sebagai penempatan semula bekas banduan ke dalam sektor pekerjaan yang diperkenalkan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) memberi keutamaan kepada warganegara tempatan.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, langkah itu bukan sahaja membantu bekas banduan mendapat pekerjaan bahkan mereka boleh diterima semula ke pangkuan masyarakat.

“Siapa pun mereka, mereka adalah rakyat Malaysia, kami tidak memilih India, Cina dan Melayu, walaupun penaungnya adalah Melayu.

“Kami ambil saja sebab mereka ini rakyat Malaysia, sebab mereka ada kad pengenalan dan anak tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

Terdahulu beliau menyambut ketibaan 48 penghuni dari Penjara Tapah, Perak ke pusat penempatan i-Kembali di Bandar Baru Salak Tinggi di sini untuk menjalani latihan sebelum diserapkan dalam sektor pembinaan dan perkilangan.

Keseluruhan mereka adalah penghuni penjara yang akan masih mempunyai baki hukuman kurang tiga bulan dan mereka akan menyertai program i-Kembali sekurang-kurang enam bulan.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad (tengah) diiringi Ketua Inspektor Penjara, Parol Hulu Langat, Mohd Nasir Awang (dua kiri) bercakap sesuatu dengan bekas banduan penjara Tapah sebelum diserapkan ke program I-Kembali di Pusat Ghulam Recovery Care Cantre (GRCC), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

Selain itu, kesemua penghuni penjara itu diasingkan kepada dua kumpulan di mana penempatan lelaki terletak di Bandar Baru Salak Tinggi manakala penempatan wanita pula di Jenjarom, Banting.

“Sekarang ini ada satu blok sudah sedia, yang akan ada lagi dua blok, boleh muat sehingga 450 peserta i-Kembali,” jelasnya.

Siti Murni berkata, kesemua mereka akan bermula bekerja mulai Khamis ini di sekitar kawasan Salak Tinggi di bawah syarikatnya, iaitu Ghulam Development Sdn Bhd.

Beliau juga berharap kerajaan dapat memberi sokongan kepada program itu yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Penjara Malaysia.

“Tidak perlu rasa curiga kerana Jabatan Penjara sendiri yang mendidik saya berjaya sehingga ke hari ini. Harapan saya juga mana-mana NGO atau masyarakat lain boleh datang membantu saya menjalinkan usaha sama dengan pihak kami bagi mengukuhkan program i-Kembali,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Ketua Inspektor Penjara dari Pejabat Parol Daerah Hulu Langat, Mohd Nasir Awang menyambut baik program i-Kembali kerana ia sedikit banyak dapat membantu bekas penghuni tidak terjebak semula ke kancah jenayah.

Ketua Inspektor Penjara, Parol Hulu Langat, Mohd Nasir Awang. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

“Kita mengharapkan sokongan daripada NGO-NGO untuk memberi sokongan kepada penghuni dan bekas penghuni penjara untuk kembali kepada masyarakat.

“Dengan cara ini, kita dapat beri peluang kedua kepada banduan untuk berubah menjadi manusia berguna dan supaya masyarakat boleh terima mereka kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Sarjan Penjara Tapah, Ridzuan Abu Bakar menyifatkan PERGAK sebagai satu-satunya NGO yang mengambil inisiatif mengambil dalam menggerakkan i-Kembali.

“i-Kembali satu-satunya program yang memberikan peluang pekerjaan kepada bekas-bekas penghuni yang sebelum ini belum ada agensi NGO yang buat program sebegini.

“Apabila mereka (penghuni penjara) dibebaskan, ada pihak NGO yang datang sambut untuk beri peluang pekerjaan. Saya rasa berbangga dengan pencapaian program i-Kembali ini.

“Saya harap pihak-pihak NGO dan masyarakat dapat menerima bekas-bekas banduan ini untuk diberi peluang dalam masyarakat, tanpa masyarakat siapa lagi nak bimbing bekas-bekas penghuni ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette