Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad menafikan dakwaan partinya memberi tempoh selama seminggu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Katanya, kedudukan Ketua Pembangkang dengan usaha mendapatkan kembali kerajaan dari PN adalah dua perkara yang berbeza.

Jelasnya lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Nasional AMANAH baru-baru ini hanya memutuskan penghargaan terhadap kesediaan Anwar mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat.

“Kedudukan Ketua Pembangkang diputuskan melalui perbincangan antara komponen parti bukannya hak atau tanggungjawab AMANAH sahaja.

“Bagaimanapun, kita juga telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Khalid menepis dakwaan mengatakan AMANAH memberikan ‘kata dua’ kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

“Memberi katadua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya AMANAH,” katanya lagi.

Terdahulu satu portal mendakwa AMANAH memberikan Anwar tempoh tujuh hari untuk menjatuhkan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Portal itu memetik sumber berkata, AMANAH akan mendesak majlis presiden PH bersidang selepas tamat tempoh tujuh hari itu bagi menentukan hala tuju gabungan itu.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.