Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim tidak lagi memegang jawatan Pengerusi DAP Kelantan.

Beliau menghantar surat peletakan jawatan itu dan ahli DAP kepada Setiausaha Agung parti tersebut, Lim Guan Eng bertarikh 15 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada pucuk pimpinan DAP berhubung peletakan jawatan itu.

“Saya tidak pegang jawatan Pengerusi DAP lagi, dah tujuh bulan. Saya dah hantar surat kepada Guan Eng maklumkan saya mahu undur diri.

“Sampai sekarang Guan Eng tidak jawab. Apapun, saya sudah bebas dan tidak lagi terlibat dalam mana-mana parti politik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik Pengerusi protem DAP Kelantan pada 10 Januari lalu.

Pelantikan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang turut melantik 16 anggota jawatankuasa (AJK) protem yang lain.

Menurut bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu ini, beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti politik lagi, sebaliknya mahu aktif semula dalam perniagaan.

Katanya, beliau bercadang untuk membuka semula syarikat guaman, namun bukan sekarang.

“Mungkin tahun depan. Sekarang saya mahu rehat dulu selepas jalani pembedahan lutut beberapa bulan lalu,” katanya.

Ditanya apa alasan diberikan dalam surat peletakan jawatan itu, Zaid berkata, keadaan ekonomi dan kewangan negara sangat teruk dan dijangka berterus beberapa tahun menyebabkan kehidupannya turut terkesan.

“Saya perlu kembali bekerja atau menjalankan perniagaan, iaitu sesuatu yang saya lalai dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini kerana politik.

“Saya tahu sukar untuk melakukan (memulakan perniagaan) pada usia saya ini, tetapi akan menjadi lebih sukar sekiranya saya terus terlibat dalam politik,” katanya.

Menurutnya, beliau telah melakukan pengorbanan peribadi yang begitu lama dan panjang untuk mengubah landskap politik ke arah lebih positif demi rakyat dan negara.

Tetapi, ujarnya, usaha itu tidak berjaya kerana politik sentiasa berubah dalam keadaan yang tidak dijangka.

“Sekarang masanya saya kembali kepada kehidupan seperti dahulu (perniagaan) demi untuk kebajikan keluarga.

“Seperti yang keluarga katakan, semua perkara mesti berlalu, begitu juga kerjaya politik saya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan baik dalam politik dan perniagaan kerana memberi saya peluang untuk bekerja dan mengejar impian ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.