SHAH ALAM – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Disember ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta suapan berjumlah RM22,000 daripada ejen warga asing, semalam.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 26 tahun itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Nor Azilah Mat di sini, hari ini.

Terdahulu anggota penguatkuasa itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor ketika menerima rasuah di Petronas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 7.45 petang semalam.

Pegawai imigresen itu yang bertugas di Bahagian Operasi KLIA disyaki meminta rasuah sebanyak RM22,000.00 bagi melepaskan dua warganegara China yang ditahan imigresen pada 30 November 2020 atas kesalahan menggunakan cop palsu.

Penahanan ini adalah susulan tangkapan awal ke atas seorang ejen berusia 40 tahun di Cheras pada jam 12 tengahari semalam atas isu yang sama.

Hasil soal siasat mendapati, wang yang diterima ialah untuk seorang pegawai imigresen di KLIA.

Menurut sumber, kes ini tiada kena mengena dengan Ops Selat dan anggota Imigresen bergerak secara bersendirian dan telah biasa melakukan perbuatan ini.

Modus operandi mereka ialah pegawai imigresen akan memberikan ejen butiran mana-mana warga China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA.

Tugas ejen ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta wang rasuah bagi melepaskan diri dari tahanan imigresen.

Keluarga di China akan menghubungi rakan-rakan di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan menyerahkan wang kepada ejen.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan tersebut. Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette