Peserta yang hadir ditemuduga di tapak pameran pada Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam. foto AFIQ HAMBALI, 05 DISEMBER 2020

SHAH ALAM – Sebanyak 18,267 kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang lima siri Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri Selangor yang kini memasuki siri terakhir hari ini dan berakhir esok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Khairuddin Othman berkata, daripada jumlah itu, seramai 187 pemohon telah lulus dalam sesi temu duga.

“Seramai 42 daripadanya diterima bekerja manakala baki 145 lagi akan dipanggil untuk sesi kedua temu duga.

“Kita berasa gembira kerana program ini memberikan peluang kepada mereka untuk pergi ke temuduga kedua.

“Kekosongan jawatan itu melibatkan 105 majikan pelbagai sektor termasuk perkilangan, perkhidmatan dan profesional,” katanya pada sidang media di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini, hari ini.

 Mohd Khairuddin Othman ketika sidang media pada Majlis Penutup Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam. foto AFIQ HAMBALI, 05 DISEMBER 2020

Sebelum ini, empat siri telah berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 Disember, Dewan MPS Gombak pada 21 November, Dewan MDKS Saujana Utama pada 22 November dan Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Hulu Langat pada 28 November.

Dalam pada itu, lenganjuran program ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor walaupun berdepan pelbagai kekangan ekoran pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri komited untuk menganjurkan program kerjaya dalam skala lebih besar pada tahun depan sebaik-baik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan pandemik Covid-19 berakhir.

“Usaha ini amat penting dalam memastikan Kerajaan Negeri dapat mencapai hasrat untuk mengurangkan kadar pengangguran ke tahap yang lebih baik dengan kadar segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette