Gambar yang diambil melalui dron menunjukkan parit di belakang premis dipenuhi cecair berwarna putih akibat aktiviti cucian tong-tong terpakai. foto JAS Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah premis yang menjalankan aktiviti mencuci tong-tong terpakai secara haram di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor diserbu selepas didapati menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih di dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah.

Semasa serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 10 pagi, kawasan lantai dan longkang premis didapati masih basah walaupun premis tidak menjalankan sebarang operasi.

Seorang pekerja warga asing telah berjaya melarikan diri sebaik sahaja pihak berkuasa memasuki premis.

Siasatan mendapati sebuah kawasan berbumbung anggaran 90 kaki persegi telah dijadikan tempat mencuci tong-tong terpakai.

Air cucian termasuk sisa buangan terjadual telah dialirkan secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis tanpa sebarang proses pengolahan.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan memperolehi tong-tong terpakai daripada kawasan industri di sekitar Daerah Klang, Selangor.

Tong-tong yang telah bersih kemudiannya dijual semula kepada kilang-kilang seperti kilang pembuatan bahan kimia untuk tujuan isian semula.

Dua sampel sisa buangan terjadual yang terdapat dalam tong-tong terpakai telah diambil sebagai bahan bukti dan kawasan pencucian turut dikepung dengan pita amaran bagi mengelakkan pencerobohan bahan bukti di premis.

Pemilik premis tersebut telah menyalahi Jadual Pertama, PeraturanPeraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, yang mana tong-tong terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod deskripsi SW 409 dan aktiviti kitar semula ini hendaklah memperolehi lesen daripada JAS.

Menurutnya, kertas Siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu:

1. Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang ditetapkan;
2. Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah;
3. Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada Ketua Pengarah; dan
4. Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

Peralatan yang digunakan dalam proses cucian turut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan. – MalaysiaGazette