Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam perancangan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bertujuan mengkaji semula laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa itu akan memfokuskan  urusan memperbaiki pilihan raya di negara ini.

Jelasnya, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi membolehkan kerajaan menilai, menyelaras dan memantau semua cadangan dan dapatan yang disyorkan ERC membabitkan urusan pilihan raya di negara ini.

“Kerajaan sudah pasti akan mengumumkan laporan kajian jawatankuasa itu nanti malah jika ada keperluan kita akan bentangkannya di Dewan Rakyat untuk dibahaskan secara langsung dan tidak langsung,” jawab beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin mengetahui sama ada laporan ERC itu akan didedahkan kepada umum.

Tambah Takiyuddin, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata, satu laporan berhubung dengan hasil dapatan kajian berserta syor-syor penambahbaikan akan disediakan sebaik sahaja kajian itu diselesaikan.

ERC kata Takiyuddin, akan menjalankan kajian selama lebih dua tahun dan telah selesai pada awal bulan Ogos lalu.

“Perdana Menteri telah menerima laporan itu bagi pihak kerajaan pada 27 Ogos 2020 lalu. Laporan ini mengandungi sebanyak 49 syor penambahbaikan yang menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya.

“Sesungguhnya Kerajaan amat komited dalam memastikan pembangunan demokrasi adalah seiring dengan peredaran zaman dan keperluan rakyat di negara ini.

“Laporan yang dikemukakan oleh ERC bukan sahaja aspek perubahan kepada proses pilihan raya, namun juga perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang turut membabitkan pelbagai kementerian dan agensi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette