Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan mengenai aplikasi PULSE dari 'Enthuasiast' Bas, Siti Nawal Shakirah Abdul Rahman selepas melancarkannya di Kompleks Rapid Rail, Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 DISEMBER 2020.

SUBANG – Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus memacu penyedia perkhidmatan pengangkutan awam dengan melancarkan aplikasi perancang perjalanan untuk penumpangnya yang dikenali sebagai PULSE.

PULSE atau Planning Your Lifestyle Efficiently menurut Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman merupakan aplikasi yang boleh digunakan oleh pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembag Klang.

Beliau berharap dengan adanya aplikasi ini, pengguna pengangkutan awam akan meningkat kerana ia akan memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka berdasarkan maklumat ketibaan pengangkutan awam yang ingin digunakan, kadar tambang, dan status perkhidmatan.

“Saya berharap warga kota akan memuat turun dan mencuba aplikasi yang sememangnya direka dengan begitu mesra pelanggan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi itu di Kompleks Rapid Rail, di sini hari ini.

Ujarnya, sebagai permulaan PULSE juga boleh digunapakai untuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) , monorel, bas Rapid Transit laluan Sunway, bas berhenti-henti dan bas perantara LRT.

Aplikasi ini, katanya, akan dikembangkan penggunaannya kepada Rapid Penang dan Kuantan bermula pertengahan tahun depan.

Tambahnya, Prasarana memperuntukan sebanyak RM350,000 setahun bagi aplikasi tersebut.

Jelas Tajuddin, dengan adanya PULSE, warga kota yang bergantung dengan pengangkutan awam akan lebih produktiviti.

Terdahulu Tajuddin memaklumkan nama PULSE diilhamkan oleh kakitangan Prasarana daripada Bahagian Projek LRT 3.

Nama itu dipilih daripada 362 nama yang telah dicadangkan.

Aplikasi mudah alih ini boleh dimuat turun Apple Store dan Goole Play Store. – MalaysiaGazette