Dua daripada tiga anggota polis berpangkat koperal dan sarjan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan reman 7 hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan meminta rasuah daripada pemandu van sekolah di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2020.

SAMPAI bila amalan rasuah ini dapat dinoktahkan? Usahlah ia menjadi tradisi yang buruk untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Sewajarnya dilakukan kempen yang serius untuk membendung gejala yang jahat ini secara besar-besaran serta mengenakan tindakan yang tegas lagi berat kepada mereka yang didapati melakukannya.

Kamus Oxford mendefinisikan rasuah sebagai tingkah laku tidak jujur atau menipu oleh mereka yang berkuasa, yang biasanya melibatkan rasuah. Asal kata korupsi dalam bahasa Inggeris berasal daripada kata Latin korupus, yang merupakan bahagian terakhir daripada korumpere, yang pada akhirnya membawa maksud, memberi rasuah dan menghancurkan. Manakala dalam Kamus Webster perkataan ‘corruption’ membawa maksud sebarang tindakan dan perbuatan yang menjejaskan integriti, kemuliaan ahlak atau prinsip moral; keadaan yang rosak atau keji, hilang kesucian atau integriti, menghalang, kejahatan, tidak suci atau rasuah.

“Kurang integriti atau kejujuran (terutama terdedah kepada rasuah); menggunakan kedudukan yang diamanahkan untuk keuntungan tidak jujur.”Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perkataan ini digunakan membawa gambaran yang negatif. Dalam Bahasa Melayu, perkataan rasuah datangnya daripada perkataan Arab ‘al-risywah’ dan ia disebut dalam al-Quran sebagai satu perbuatan jahat.

Dalam konteks Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, rasuah membawa maksud memberi atau menawarkan, menerima atau meminta atau setuju untuk menerima ganjaran/faedah secara langsung atau tidak langsung. Dokumen tertua yang ditemui menyentuh tentang rasuah terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Di China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi, menjelaskan konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terbabit.

Rasuah berlaku di sektor awam dan swasta, malah hari ini turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi agama serta badan sukarela dan badan sukan. Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2007
menyatakan, "Corruption undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill."

Rasuah antara faktor kemiskinan dan pembangunan ekonomi tidak stabil 

Ketika ekonomi global berkembang secara mendadak pada abad ke-20, tahap rasuah juga meningkat. Adalah sukar untuk mengira kadar dan tahap rasuah secara global kerana kegiatan ini dilakukan secara rahsia.

Bank Dunia menganggarkan bahawa rasuah antarabangsa melebihi USD1.5 trilion setiap tahun atau 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 10 kali lebih banyak daripada jumlah wang bantuan global. Namun, wujud nilai lain yang menganggarkan rasuah pada 2 hingga 5 peratus daripada KDNK global.

Rasuah meresap kepada semua lapisan masyarakat dari pegawai awam berpangkat rendah yang menerima rasuah kecil hingga pemimpin negara yang mencuri berjuta-juta dolar. Di manakah integriti mereka sebagai orang yang diamanahkan?

Rasuah sebagai antara sebab utama membantutkan pertumbuhan ekonomi,  menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.

Selain itu, rasuah seakan telah menjadi cara hidup di beberapa negara. Pada tahun 2018, Transparency International (TI) melaporkan bahawa dua pertiga warga Bangladesh dan
lebih daripada separuh rakyat India telah memberi rasuah dalam dua belas bulan sebelumnya.

Pada tahun 2017 pula, laporan itu juga melaporkan bahawa satu daripada empat orang di seluruh dunia telah memberi rasuah selama 12 bulan untuk mengakses perkhidmatan awam. Hampir 57 peratus orang di seluruh dunia merasakan bahawa kerajaan mereka tidak melakukan apa-apa untuk memerangi rasuah, sementara hanya 30 peratus yang percaya bahawa kerajaan mereka berusaha dengan baik dalam memerangi rasuah.

Kajian Transparency International pada tahun 2017 juga menunjukkan di seluruh dunia bahawa kira-kira satu pertiga orang menganggap ketua mereka, perdana menteri, pegawai kerajaan negeri dan tempatan, pengarah syarikat, wakil rakyat dan pegawai polis melakukan rasuah. Pegawai polis dilihat paling banyak mengamalkan rasuah di Afrika sub-Sahara (47 peratus) dan Asia Pasifik (39 peratus). Ini dianggap sebagai kecaman yang dahsyat mengenai sejauh mana konsep-konsep rasuah global pada era ‘homo korupus’ ini, orang-orang yang sangat biasa dengan rasuah.

Kerana rasuah, ia menyebabkan kemiskinan dan pembangunan ekonomi tidak stabil. Pada tahun 2017, hampir 10 peratus orang Asia, iaitu sekitar 400 juta orang, hidup dalam kemiskinan yang melampau. Kerana amalan rasuah ini juga, ia membantutkan pengaliran dana yang diperuntukkan untuk memulihkan kemiskinan. Negara-negara seperti Bangladesh, China, India, Indonesia, Malaysia, Nepal, Thailand dan Filipina tidak terkecuali menghadapi masalah rasuah ini.

Sekiranya negara-negara membangun dapat mengawal rasuah dan menegakkan undang-undang, anggaran pendapatan per kapita Bank Dunia akan berlipat kali ganda dalam jangka masa panjang. Rata-rata, sektor perniagaan dapat berkembang 3 peratus lebih cepat daripada kebiasaannya.

Lapan fakta tentang rasuah

Indeks Persepsi Rasuah adalah indeks tahunan yang diterbitkan oleh Transparency International sejak tahun 1995. Indeks ini memberi peringkat kepada negara-negara sesuai dengan tahap rasuah mereka di sektor awam sebagaimana yang ditentukan oleh penilaian pakar dan tinjauan pendapat di negera tersebut. Indeks ini menempatkan negara-negara di seluruh dunia mengikut tahap di mana rasuah diperhatikan pada pekerja dan ahli politik. Organisasi ini mendefinisikan rasuah sebagai penyalahgunaan kuasa yang dipercayai untuk kepentingan peribadi.

Dalam edisi terbaru Indeks Rasuah pada tahun 2019 yang diterbitkan pada awal tahun 2020; Denmark, New Zealand dan Finland semuanya dianggap sebagai negara paling tiada rasuah di dunia, secara konsisten menduduki tempat tertinggi dalam ketelusan kewangan antarabangsa. Sementara itu, negara yang paling rasuah di dunia ialah Somalia, dengan skor 8 hingga 10 daripada 100 sejak 2012. Sudan Selatan juga dianggap sebagai salah satu negara yang paling rasuah di dunia kerana krisis sosioekonomi yang berterusan, dengan skor 13 daripada 100 pada tahun 2018.

Menurut TI, terdapat lapan fakta dan dapatan mengenai rasuah melalui laporan kajian ‘Global Corruption Barometer – Asia 2020’ berkaitan pandangan rakyat dan pengalaman rasuah pada Mac 2019 – September 2020:

1. Rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar
Hampir tiga daripada empat orang berpendapat bahawa rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar di negara mereka.
2. Rasuah mengalami kemerosotan atau meningkat
Sebanyak 38 peratus orang berpendapat rasuah meningkat di negara mereka dalam 12 bulan sebelumnya, sementara 28 peratus tambahan berpendapat ia tetap sama.
3. Ahli Parlimen dilihat paling rasuah

Hampir satu daripada tiga orang berpendapat ahli parlimen di negara mereka menjadikan
rasuah sebagai amalan.
4. Rasuah dan hubungan peribadi adalah perkara biasa.
Hampir satu daripada lima warganegara yang mendapatkan perkhidmatan awam, seperti kesihatan dan pendidikan, memberi rasuah pada tahun sebelumnya. Begitu juga, lebih satu daripada lima menggunakan hubungan peribadi.
5. Badan antirasuah memberi sumbangan positif
Lebih tiga daripada empat orang pernah mendengar mengenai agensi pencegahan rasuah di negara mereka dan 63 peratus berpendapat bahawa agensi itu menjalankan tugas
dengan baik.
6. Paksaan seksual adalah masalah utama
Warganegara dari Indonesia, Thailand dan Malaysia mengalami kadar paksaan seksual tertinggi ketika mengakses perkhidmatan kerajaan, untuk mendapatkan bantuan.
7. Integriti politik kurang terutama sekitar pilihan raya
Hampir satu daripada tujuh warganegara telah diberi rasuah sebagai pertukaran untuk mendapatkan suara sejak lima tahun kebelakangan ini.
8. Walaupun takut bertindak balas, rakyat boleh lakukan perubahan Lebih daripada lima orang percaya bahawa rakyat biasa boleh melakukan perubahan dalam memerangi rasuah.

Indeks global membabitkan 180 negara di seluruh dunia itu menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga ke-51 tahun lalu, berbanding berada di kedudukan ke-61 pada 2018, selain mencatatkan peningkatan skor sebanyak enam mata kepada 53, berbanding 47.
Pewartaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 Menurut laporan TI itu lagi, kadar berlakunya rasuah dan hubungan peribadi di Malaysia yang mana anggaran kadar keseluruhannya untuk rasuah ialah 13 peratus dan melalui hubungan peribadi ialah 15 peratus.

Dan dalam tujuh kategori keseluruhan yang dikemukakan, rasuah polis adalah yang terbanyak iaitu 17 peratus dan melalui hubungan peribadi pula ialah sebanyak 13 peratus.
Seterusnya, sebanyak 71 peratus rakyat Malaysia menyatakan rasuah dalam badan kerajaan adalah masalah besar, 13 peratus mengatakan membayar rasuah untuk perkhidmatan awam, 15 peratus menggunakan hubungan peribadi untuk perkhidmatan
awam, 7 peratus menawarkan rasuah sebagai mendapatkan tender dan 12 peratus rakyat Malaysia mengekspresi melalui pengalaman. Laporan itu turut mendedahkan peratus rakyat yang berfikir bahawa orang yang ada dalam institusi-institusi berikut mengamalkan rasuah iaitu yang tertingginya ialah ahli parlimen 36 peratus, pegawai kerajaan 28 peratus, polis 30 peratus, Eksekutif perniagaan 27 peratus, Perdana Menteri 25 peratus, pegawai kerajaan tempatan 18 peratus, NGO 15 peratus, peguam/hakim 13 peratus, pegawai bank 10 peratus, pemimpin agama dan pegawai tertinggi tentera masing-masing sebanyak 9 peratus.

Merujuk kepada laporan Berita Harian pada 23 Januari 2020, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, menjelaskan ‘pemulihan’ imej Malaysia didorong tindakan tuntas kerajaan (PH) dalam merungkai skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC), FELDA dan Tabung Haji pasca keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Percaturan sehingga mengembalikan keyakinan terhadap urus tadbir kerajaan itu tidak terhenti, sebaliknya momentum berkenaan diteruskan menerusi siri penahanan beberapa pemimpin politik yang kemudiannya berdepan pendakwaan oleh SPRM berikutan tuduhan
rasuah dan pengubahan wang haram.

Faktor lain yang mempengaruhi peningkatan CPI Malaysia ialah kebebasan media supaya mereka boleh membongkar kes atau skandal mega demi kepentingan awam sekali gus membantu memperbaiki persepsi dalam kalangan masyarakat dan pelabur. Menurutnya lagi, tekad Putrajaya menggubal dan mewartakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah antara pendorong utama kejayaan ini. Idea asal pelan ini tercetus semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang mana Pakatan Harapan memberikan penekanan kepada usaha untuk memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Usai PRU-14, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Jun 2018 telah memutuskan bahawa satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini. Maka terhasillah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sebagai dokumen utama kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah. Pelan ini akan menjadi pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.

Visi NACP adalah untuk mewujudkan negara bebas rasuah melalui penetapan tiga matlamat khusus iaitu kebertanggungjawaban dan kredibiliti kehakiman, pendakwaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang; penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan responsif; dan integriti dalam perniagaan. Sehubungan itu, NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan. Melalui enam strateginya, NACP akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas dalam kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan. Para pemegang taruh dijangka membangunkan OACP dalam menangani isu integriti, tadbir urus dan antirasuah di organisasi masing-masing.

Negara-negara yang paling tiada rasuah di dunia 

New Zealand dan Denmark mendahului senarai negara paling tiada rasuah di dunia pada tahun 2019, menurut Indeks Persepsi Rasuah Transparency International. Laporan juga mengatakan bahawa lebih daripada dua pertiga dunia termasuk banyak negara berekonomi maju berusaha untuk memerangi rasuah.

Indeks berada di peringkat 180 negara dan wilayah, berdasarkan 13 penilaian, dan tinjauan yang merangkumi eksekutif, dan pada akhirnya, negara dinilai berdasarkan indeks dari 0 hingga 100, dan semakin banyak mata yang dimiliki oleh negara, semakin tinggi tahap integriti dan ketelusannya.
1. New Zealand (87 mata)
2. Denmark (87 mata)
3. Finland (86 mata)
4. Switzerland (85 mata)
5. Singapura (85 mata)
6. Sweden (85 mata)
7. Norway (84 mata)
8. Belanda (82 mata)
9. Luxembourg (80 mata)
10. Jerman (80 mata)

Selama 26 tahun, Transparency International yang beribu pejabat di Berlin, Jerman, telah menyiapkan laporan mengenai rasuah di seluruh dunia. Kajiannya berdasarkan kriteria danpiawaian, sejauh mana demokrasi negara, ketelusan transaksi pentadbiran dan kewangan, dorongan persaingan iklim pelaburan dan memerangi rasuah. Menurut laporan TI tahun ini, 22 negara meningkatkan kedudukan mereka dalam indeks anti-rasuah, termasuk Greece, Guyana dan Estonia. Sementara 21 negara, termasuk Kanada, Nikaragua dan Australia, menurun. Laporan tersebut mengklasifikasikan negara mengikut wilayah geografi berikut: Kesatuan Eropah, Eropah Barat, Eropah Timur dan Asia Tengah, Asia Timur dan Pasifik, Afrika Sub-Sahara, Afrika Utara, Amerika dan Timur Tengah.

Rasuah dari pandangan Islam.

Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, pernah berkongsi bahawa rasuah adalah perkara biasa dalam perkhidmatan awam pada zaman penjajahan. Namun, ketika
partinya berkuasa, para pemimpinnya menetapkan anti-rasuah sebagai prioriti pembangunan kerana dianggap sebagai prasyarat untuk kerajaanan yang baik.
Walaupun begitu, Keppel Offshore and Marine, sebuah unit konglomerat Keppel Corporation Singapura membayar denda yang mengejutkan iaitu sebanyak USD422 juta kepada pihak berkuasa AS, Brazil dan Singapura kerana membayar rasuah USD55 juta kepada Petrobras dan Sete Brasil. Sogokan itu dibayar antara tahun 2001 dan 2014 untuk memenangi 13 kontrak.

Presiden China, Xi Jinping pula telah mengisytiharkan perang terhadap rasuah yang telah mensasarkan ‘harimau dan lalat’ sebagai tamsilan kepada para pegawai atasan dan bawahan. Banyak ahli politik dan birokrat Cina yang kuat yang sebelumnya dianggap tidak disentuh, kini dipenjara kerana rasuah.

Di India, hampir tidak ada pemimpin politik utama yang dipenjara kerana rasuah yang serius, yang telah memberi banyak peluang kepada ahli politik dan birokrat kanan untuk mencuri. Laporan TI 2017 menyatakan bahawa hampir 70 peratus orang India yang mengakses perkhidmatan awam terpaksa memberi rasuah. Dan kini, lebih daripada separuh orang India bersikap positif terhadap usaha kerajaan untuk memerangi rasuah. Walau bagaimanapun, lebih daripada 40 peratus merasakan rasuah telah meningkat selama 12 bulan sebelumnya.

Negara maju juga tidak terkecuali daripada amalan rasuah. Ketika ekonomi dunia terus berkembang, potensi untuk berlakunya rasuah juga meningkat. Rasuah amat sukar untuk dihapuskan. Antara jalan yang terbaik yang boleh dilakukan oleh mana-mana negara adalah memastikannya menurun kepada kadar minimum sehingga mencapai sifar.

Justeru, sebagai seorang Islam kita perlulah menyakini bahawa amalan rasuah ini adalah sesuatu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan kita. Hadis Rasulullah
SAW daripada Thauban RA bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya.” (HR Ahmad, Thabrani Baihaqi dan al-Hakim)

Oleh yang demikian, Transparency International mengesyorkan perlunya diperketat kawalan terhadap politik wang, meningkatkan keadaan ketelusan pilihan raya, menangani konflik kepentingan, memerangi diskriminasi dan penarikan, meningkatkan pemantauan dan pertanggungjawaban, dan memungkinkan warganegara untuk bergabung dalam pengambilan keputusan politik, selain aturan undang-undang dan pemberdayaan negara.

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia

1 Komen

  1. Pegawai polis makan suap untuk kemewahan hidup, tetapi konstable polis makan suap sebab gaji hampir paras kemiskinan lebih-lebih lagi yang berkeluarga. Kalau nak pasang umpan rasuah pun, utamakan pegawai dan bukannya orang bawahan. Common senselah sikit, kan?

Comments are closed.