Khalid Abdul Samad. foto IQBAL BASRI, 16 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan akan tetap menjadi ketua dalam gabungan besar pembangkang (grand coalition) yang bakal dibentuk.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abd Samad berkata, gabungan itu tidak memerlukan perubahan yang besar daripada aspek struktur sedia ada.

Sekiranya ada parti pembangkang yang enggan menjadi salah sebuah parti komponen PH, gabungan besar itu masih boleh dilaksanakan menerusi PH Plus, ujarnya.

“Dari segi strukturnya, saya rasa tidak perlu ada pindaan yang banyak, yang penting PH mengetuai kerana kita ada 92 kerusi Parlimen bersama kami (Amanah) dan parti-parti pembangkang yang lain sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan atau sebagai PH Plus.

“Kalau PH Plus sekalipun kita akan tetap mengadakan mesyuarat bersama dan presiden parti-parti lain akan turut memberikan pandangan dan cadnagan cara mahu hadapi PN dan sebagainya,” katanya pada sidang media Konvensyen Nasional 2020 Amanah yang berlangsung atas talian hari ini.

Menurut beliau, mewujudkan gabungan besar pembangkang adalah strategi yang baik untuk menentang Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN).

Khalid juga Ahli Parlimen Shah Alam yakin perkara itu akan dipersetujui oleh komponen PH lain.

Dalam masa yang sama beliau menganggap gabungan besar pembangkang akan memudahkan urusan perbincangan sesama sendiri khususnya dalam Parlimen.

“Ini juga akan menambahkan keberkesanan kita (pembangkang) dalam Parlimen bila boleh duduk semeja, boleh berbincang dengan semua parti pembangkang, boleh merangka satu strategi yang lebih berkesan. Saya menganggap pecahnya pembangkang ini adalah strategi pihak lawan sama ada PN. BN dan MN,” katanya lagi.

Bagaimanapun ujar Khalid, perkara itu perlu diterima oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu.

Sebelum ini Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya parti pembangkang membentuk gabungan besar.

Menurut mereka, kerjasama itu penting untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette