Gambar hiasan

WAKAF adalah suatu harta yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Islam. Menurut ajaran Islam, umat Islam yang mewakafkan harta akan mendapat ganjaran yang berterusan di akhirat kelak selagi mana harta tersebut digunakan. Wakaf mempunyai ciri-ciri kekal, tidak boleh dipindah milik dan tidak boleh diwarisi. Hal ini membuatkan harta wakaf istimewa dan terpelihara sepanjang zaman.

Harta wakaf boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu harta alih dan harta tak alih. Harta alih adalah seperti buku, kitab, dan peralatan-peralatan yang boleh dimanfaatkan. Manakala, harta tak alih yang penting dan lazimnya dibangunkan adalah tanah.

Tanah wakaf mula diperkenalkan sejak zaman Nabi Ibrahim lagi, di mana tanah Mekah didirikan Kaabah sebagai tapak ibadat umat Islam yang kekal sehingga ke hari ini. Secara umumnya, tanah wakaf ditadbir dan diurus Nazir (pemegang amanah) dan digunakan sebagai tanah perkuburan, tapak masjid atau tapak madrasah.

Kini, tanah wakaf boleh didirikan pelbagai jenis bangunan yang patuh shariah seperti perumahan, pelancongan, pendidikan, kesihatan seperti hospital dan pusat rawatan, yang mana hasil pendapatannya terus disalurkan kepada penerima manfaat dalam kalangan umat Islam. Dengan inovasi penyelidikan dan pembangunan, projek-projek pembangunan ini berjaya ditampung dari sumber janaan wakaf itu sendiri seperti dana kutipan wakaf tunai, hasil pelaburan saham wakaf dan sukuk, dan pelbagai pembiayaan lain dari kerajaan dan perbankan Islam yang patuh syariah.

Tanah wakaf merupakan sumber ekonomi terpendam umat Islam. Pengurusan tanah wakaf yang baik mampu mewujudkan limpahan ekonomi dan seterusnya memperkasakan ekonomi orang Islam di negara ini. Tanah wakaf yang dibangunkan dengan lebih progresif dan menyeluruh mampu meningkatkan sumber pendapatan dan pegangan hartanah milik orang Islam di negara ini.

Namun begitu, masih banyak tanah wakaf yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Sejak 2017, didapati kira-kira 30,888.89 hektar tanah wakaf di Malaysia yang masih belum dibangunkan sepenuhnya. Sistem wakaf belum dieksploitasikan sepenuhnya kerana pembangunan tanah wakaf lazimnya tertumpu kepada pembangunan masjid, surau, madrasah dan tanah kubur.

Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka kerja mengenai tatacara pembangunan harta tanah wakaf. untuk memberi kefahaman kepada sektor pentadbiran dan pembangunan bagi menjawab pelbagai soalan hartanah wakaf ini seperti: Apakah sumbangan di tanah wakaf di dunia maju? Apakah syarat dan sekatan di tanah wakaf? Apakah senario dan trend semasa dalam negara? Apakah perbezaan tanah wakaf daripada yang hartanah lain? Apakah peranan dan rangka kerja perkongsian antara kerajaan tempatan, sektor swasta dan organisasi wakaf? Apakah faedah perkongsian itu kepada negara?

Pewujudan rangka kerja tersebut berpotensi untuk diguna pakai oleh Unit Perancang Persekutuan dan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, dan pemaju dari sektor swasta. Pada masa yang sama, ia dapat membantu organisasi wakaf dan kepakaran sektor swasta bekerjasama untuk pembangunan tanah wakaf. Selain itu, penyediaan rangka kerja tersebut mampu melestarikan undang-undang Islam dan undang-undang pembangunan tanah di Malaysia secara optimum.

Malaysia berupaya menyediakan sumber kewangan yang mampan dan menjana ekonomi melalui sistem wakaf. Sumbangan dan pembangunan tanah wakaf dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berdapatan rendah dan sederhana. Projek-projek wakaf akan memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam fasa-fasa pembangunan dengan cara yang mampan.

Oleh yang demikian, usaha mengeksploitasi tanah wakaf haruslah digiatkan dengan mewujudkan kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak termasuklah kerajaan, swasta dan masyarakat. Selain itu, kajian penyelidikan ke atas pembangunan tanah wakaf
juga adalah satu keperluan di masa kini. Akhir kata, projek wakaf adalah aset penting

Negara yang harus dibangunkan sejajar dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk mengimbangi kemapanan kewangan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar, serta mengangkat nilai-nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan.

Prof Madya Dr Ibrahim@ Atan Sipan, Pensyarah dan Dr Noor Azimah Ghazali, Penyelidik Pusat Kajian Hartanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia.