Petugas barisan hadapan Sel Care melakukan ujian saringan kepada kanak-kanak yang dipeluk ibunya bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ramai kanak-kanak dijangkiti wabak Covid-19, seterusnya memberikan implikasi besar kepada penularan wabak itu terhadap ahli keluarga.

Ketua Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan mahu kerajaan telus menyatakan bilangan kanak-kanak yang terlibat.

“Kerajaan perlu telus dalam menyatakan jumlah pesakit yang berumur 12 tahun ke bawah. Persoalannya sekarang, adakah sesi persekolahan akan dibuka seperti yang dirancang?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Shahir berkata, petugas barisan hadapan sudah kepenatan dalam menjalankan tugas kerana mereka telah berdepan dengan situasi itu sejak beberapa bulan lalu.

Ujarnya, mereka kemudiannya menempuh fasa getir seperti penularan Covid-19 sewaktu Kluster Tabligh, kemudiannya Sabah, kini di zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Akibatnya, kata beliau, prosedur yang ditetapkan, tidak dapat dijalankan secara teratur.

“Bayangkan, pesakit-pesakit Covid-19 terpaksa tunggu dari pukul 4 petang hingga pukul 3 pagi untuk masuk ke pusat kuarantin.

“Bayangkan, limpahan pesakit dari Hospital Sungai Buloh menyebabkan ramai dihantar ke pusat kurantin ILKKM dan MAEPS.

“Bayangkan, petempatan kotor dan tidak selesa apabila golongan warga emas yang menginap di Dewan Makan Pusat Kusta Negara.

“Berpindah-randah adalah norma baru. Kerajaan perlu bertanggungjawab untuk memastikan setiap pesakit Covid-19 diberikan tempat petempatan yang selesa, tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” tambahnya.

Justeru beliau menggesa kerajaan untuk bertindak segera dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang semakin meruncing.

Harus diingat bahawa jangkitan Covid-19 masih mencatatkan empat angka, dengan rekod tertinggi beberapa hari lepas mencecah sebanyak angka 2,335 kes pada 26 Disember lalu, kata Ketua Pemudanya, Shahir Adnan.

Beliau berkata, sehingga hari ini, belum ada tanda-tanda penurunan kes kepada tiga angka dan kerajaan perlu berkongsi nilai kebolehjangkitan untuk fasa kali ini.- MalaysiaGazette