Antara benih kerang yang ditemui dalam rampasan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Sungai Leman, Sekinchan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia mengalu-alukan sebarang laporan berkenaan salah laku kakitangannya yang menyalahi undang-undang atau tidak berintegriti.

“Sebarang bukti boleh diserahkan kepada pihak polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Jabatan akan memberi sokongan penuh terhadap siasatan yang dijalankan,” kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Itu reaksi Jabatan Perikanan Malaysia ekoran memorandum yang diterima daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Putrajaya hari ini.

Mengulas dakwaan Jamal tiada tindakan tegas dibuat dalam menangani kejadian kecurian benih kerang, pihaknya berkata, beberapa siri penguatkuasaan diadakan sepanjang tahun lalu.

Dalam operasi itu, pihaknya banyak merampas guni anak kerang dicuri dan peralatan pihak tidak bertanggungjawab di sekitar Sabak Bernam.

Mengenai dakwaan kegiatan pengambilan benih kerang secara haram oleh pihak menggunakan enjin rotor yang merosakkan ekosistem dan akukultur, pihaknya tidak membenarkan perkara itu sekiranya tidak mempunyai lesen.

“Jabatan menyambut baik cadangan-cadangan yang disampaikan dan akan sentiasa melakukan rondaan serta pemantauan di laut juga di darat bagi mengekang kes kecurian benih kerang.

“Tindakan penguatkuasaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain samada di laut dan di darat akan diteruskan,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jamal bakar kerang depan Jabatan Perikanan Malaysia