Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sehingga kini tiada perbincangan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan situasi semasa Covid-19 pada Mac nanti, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebelum suatu mesyuarat khas diadakan ia biasanya dibentangkan peringkat Jemaah Kabinet terlebih dahulu.

“Setakat hari ini belum ada apa-apa cadangan lagi, biasanya Menteri Undang-Undang akan mencadangkan perkara nak dibincang dalam Parlimen dibentang ke Kabinet untuk dimasukkan dalam agenda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai perkembangan hari ke -294 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ke-210 PKPP dilaksanakan hari ini.

Beliau ditanya terdapat cadangan beberapa ahli Parlimen supaya Mesyuarat Khas Parlimen diadakan pada 8 Mac nanti untuk memperincikan perkembangan Covid-19.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yakin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merancang strategi yang sesuai berdasarkan situasi semasa jangkitan pandemik yang berlaku.

Untuk rekod, KKM semalam merekodkan 1,741 kes Covid-19 baharu dengan tujuh kematian.-MalaysiaGazette