Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan, kawasan yang terjejas dengan bekalan air akibat paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, Cheras semalam, akan pulih sepenuhnya kira-kira jam 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata, sehingga tengah hari ini, tiga wilayah yang terkesan dengan insiden itu telah melalui peringkat pemulihan dari 59 hingga 95 peratus.

Kawasan itu ialah Kuala Lumpur pulih 59 peratus, diikuti Petaling (80 peratus) dan Hulu Langat (95 peratus).

“Kita berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air segera terutama dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19 ini.

“Bagaimanapun, pemulihan bekalan air di semua kawasan yang terjejas disalurkan secara berperingkat bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Elina berkata, Air Selangor telah menambah bantuan bekalan alternatif melalui lori tangki yang ketika ini giat digerakkan kepada pengguna yang masih terkesan.

Sebanyak 121 kawasan di Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pemasangan paip pembetungan oleh pihak ketiga pada 2 Januari lalu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status bekalan air melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast