Mohd Shahzihan Ahmad

KUALA LUMPUR – Mulai sekarang mana-mana pihak yang hendak menjalankan misi bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini dan beberapa negeri terlibat dengan bencana alam itu, perlu mematuhi panduan khas dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, panduan khas itu adalah sebagai usaha jabatan agama berkenaan untuk turut bersama agensi pemantau mengekang dan mengawal penularan Covid-19.

“Kita menyedari pelbagai usaha digerakkan beberapa masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyampaikan misi bantuan kepada mangsa banjir di beberapa daerah di negeri yang terlibat dengan bencana itu.

“Bagaimanapun, semangat untuk membantu perlu diimbangkan dengan semangat mengawal penularan Covid-19 yang berada ada tahap membimbangkan ketika ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Menurut Mohd Shahzihan, antara panduan khas itu ialah setiap misi bantuan semua masjid pengurusan hendaklah dibuat dengan kerjasama atau pemakluman rasmi secara bertulis kepada Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS.

Katanya, misi bantuan oleh masjid institusi, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah hendaklah dibuat dengan memohon kebenaran rasmi dari Pejabat Agama Islam daerah masing-masing.

“Dalam permohonan itu, perlu dikemukakan lokasi atau tempat spesifik untuk penyaluran bantuan, bentuk bantuan yang akan disalurkan, tempoh berada di lokasi bantuan, jawatankuasa atau anggota terlibat.

“Mereka juga perlu nyatakan, pihak lain yang turut terlibat, dapatkan kebenaran dari ibu pejabat polis daerah jika peraturan semasa menetapkan syarat sedemikian dan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak JAIS juga menyediakan mekanisme kutipan untuk misi berkenaan termasuk bantuan institusi masjid dan surau terjejas melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) melalui akaun Maybank 562106-718620. – MalaysiaGazette