Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Apabila dua ahli Parlimen dari Kelantan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan sendirinya memperlihatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mempunyai sokongan atau majoriti amat tipis.

Tindakan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan wakil kerajaan mempunyai sama jumlah dengan blok pembangkang iaitu 110-110.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor ketika membuat rumusan itu berkata, ia berpunca daripada ketidakstabilan politik dan kelemahan Muhyiddin mentadbir negara dengan sempurna sepanjang diberi peluang sebagai Perdana Menteri.

“Beliau juga dilihat gagal mengawal ahli Parlimen yang rata-rata tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PN hari ini.

“Perkara melibatkan kebajikan rakyat seperti lanjutan moratorium, memudahkan syarat i-sinar KWSP, kurang insentif kepada mahasiswa serta isu jenayah kematian Muhammad Adib dan pengganas LTTE hanya diberi perhatian acuh tak acuh sahaja oleh kerajaan,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Bahagian Pasir Mas berkata, itu belum lagi dengan hal ekonomi meruncing akibat daripada tiada pelabur asing masuk ke Malaysia.

Malah tegasnya, banyak daripada mereka menarik pelaburan yang ada di sini pindah ke ke negara jiran.

“Situasi ini amat kritikal sekali. Negara tidak akan mampu bertahan dengan ekonomi menguncup sebegini dengan menggunakan alasan pandemik Covid-19.

“Kita tengok Perdana Menteri menjadikan isu Covid-19 sebagai perisai untuk parti pemerintah menidakkan hak kita semua, tetapi pada masa sama melakukan pelbagai gerakan politik yang terselindung tanpa pengetahuan rakyat.

“Muhyiddin tidak boleh diam membisu dan ‘main selamat’. Dia perlu beri kata dua dalam membuat keputusan yang mampan,” katanya.

Kata beliau, menangani wabak Covid-19 perlu selari dengan rancangan penjanaan ekonomi berterusan, bukan memberi pelbagai alasan yang bertujuan untuk kepentingan politik.

Katanya, Perdana Menteri juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekacauan politik yang berlaku akibat daripada kegagalan untuk mendengar denyut nadi rakyat seperti diperjuangkan oleh Ahmad Jazlan.

“Kita berpendapat, Muhyiddin bukan lagi calon yang layak sebagai Perdana Menteri untuk memimpin negara, kerana telah hilang kebijaksanaan politik dalam menjaga kerukunan ahli PN.

“Cara pentadbiran dan kepimpinannya seolah terbawa-bawa dengan corak pentadbiran lemah Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah selama 22 bulan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Selain Muhyidin nak lantik siapa jadi PM9? Zahid ada kes pula, tak akan nak lantik Tok Mat yang tiada kerusi Parlimen. Sepatutnya Ketua Parti lah yang layak untuk di angkat jadi PM.

Comments are closed.