Istana Negara

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan atau kenyataan bersifat menentang atau memperlekehkan Perisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, bermakna menafikan keputusan syura yang berotoriti serta merendahkan kebijaksanaan baginda dan Majlis Raja-Raja.

NGO, Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR) menyifatkan sikap golongan itu merupakan suatu kebiadaban dan pengkhianatan terhadap Keluhuran Perlembagaan dan Institusi Raja-Raja.

Jurucakap Sekretariatnya, Iqbal Zain Al Jauhari dengan tegas menyatakan, golongan sedemikian wajib ditolak oleh seluruh rakyat.

Kata beliau, MAMPIR merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Tuanku baginda Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Pengisytiharan Darurat selaras dengan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pengisytiharan itu juga dititahkan selepas baginda berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan ini adalah secara kolektif dan berdasarkan prinsip amalan ‘syura’ yang bertujuan mengelak soal kepentingan individu dan seperti diperuntukan di bawah fasal-fasal Perkara 150(1) dan 150(2) yang tidak boleh dicabar oleh mahkamah atas apa jua alasan melalui peruntukan Perkara 150(8).

“Ketika keadaan darurat ini berlangsung, prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk membuat ordinan begitu luas, selagi berada dalam batasan yang dibenarkan serta bertujuan mencapai maksud darurat itu diisytiharkan.

“MAMPIR menyanjung tinggi titah Seri Paduka yang telah menzahirkan kebijaksanaan baginda apabila memperkenankan cadangan kerajaan bagi membentuk satu Jawatankuasa Bebas,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Jawatankuasa Bebas itu akan dianggotai Ahli-ahli Parlimen kerajaan, pembangkang, pakar kesihatan dan pihak berkaitan serta memberi budi bicara kepada jawatankuasa itu untuk mengusul pandangan kepada baginda sekiranya tempoh darurat itu boleh ditamatkan lebih awal dari tarikh ditetapkan.

Sehubungan itu, kata Iqbal, sebagai wadah menyampaikan suara prihatin isu kenegaraan kalangan agamawan dan aktivis masyarakat, MAMPIR mengharapkan:

1.Semua anak watan Malaysia wajib memahami bahawa kerajaan Malaysia pada hakikatnya ialah kerajaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah bersumpah memelihara pemerintahan yang adil dan aman. Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

2.Menyeru agar rakyat berdiri menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar pihak pentadbiran sedia ada dapat memberi fokus dan bersikap proaktif melandaikan lekuk positif Covid-19 harian tanpa sebarang gangguan birokrasi atau kerenah politik dan pentadbiran.

3.Mendoakan agar Jawatankuasa Bebas yang dibentuk benar-benar bebas dari kepentingan politik peribadi atau parti atau kepentingan mana-mana pihak tertentu sama ada di dalam atau di luar negara.

4.Mencadangkan agar pakar bidang perlembagaan dan agamawan dapat membantu membimbing masyarakat agar tenang dan faham secara realiti terhadap isu kenegaraan yang sedang dilalui dan bersama memberikan komitmen memerangi pandemik.

5.Mengingatkan kepada ahli-ahli politik menjadikan darurat ini sebagai tempoh bertenang dan muhasabah mengislahkan peribadi dan parti, agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik, berintegriti dan berkredibiliti kepada agama, bangsa dan negara pasca darurat nanti.

6.Mendoakan agar keputusan ini menjadi keputusan yang terbaik buat semua pihak dalam negara.

7.Mendoakan agar Allah meletakkan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan payung mahkota KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. menentang atau memperlekehkan Perisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, bermakna menafikan keputusan syura yang berotoriti serta merendahkan kebijaksanaan baginda dan Majlis Raja-Raja….perlu dikenakan tindakan undang2 seperti anwar ibrahim salahudin ayub serta sekalian majlis presiden ph…dgn kenyataan menghina kerajaan sekarang bergantung pada Dinding Istana….ANGKAT SUMPAH sebagai MP / Penjawat AWAM ..BERIKRAR taat setia YDPA serta perlembagaan.

Comments are closed.